LARUT — Penghuni 50 buah rumah di Kampung Teras, Ijok, Batu Kurau dekat sini dinasihat supaya berpindah bagi mengelakkan risiko berdepan kejadian tanah runtuh.

Tanpa menyatakan jumlah penduduk terlibat, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kawasan kediaman itu terdedah dengan pergerakan tanah terutama ketika musim hujan ketika ini.

“Tidak wajib (pindah) tapi dinasihatkan, mungkin untuk seminggu sehingga kajian keselamatan selesai bagi memastikan keadaan sekitar selamat daripada tanah runtuh

“Kerajaan negeri akan cari jalan untuk membantu mereka berpindah, jika tiada keluarga atau tempat untuk menumpang, mungkin akan cari jalan gunakan fasiliti kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Teras semalam yang meragut nyawa seorang lelaki warga emas selepas kediaman mangsa dihempap tanah runtuh.

Selain itu, Ahmad Faizal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melalui Jalan Rantau Panjang-LataTinggi di kampung itu yang turut runtuh semalam, sebaliknya menggunakan jalan alternatif yang ada.

“Pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan-arahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan ini sangat penting bagi penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKR Perak Roslan Ghani berkata pihaknya mengesan berlaku pergerakan tanah sejak beberapa hari lepas akibat hujan yang kerap ketika ini sehingga menyebabkan keadaan lembab di kawasan kejadian.

“Kesan pergerakan tanah sejak Khamis, kontraktor dah masuk dan rancang tutup jalan itu hari ini tapi tidak sangka berlaku pergerakan tanah sejauh 200 meter dan menyebabkan tanah runtuh sehingga menghempap tiga buah rumah,” katanya sambil menambah proses baik pulih jalan dijangka mengambil masa tiga bulan.

— BERNAMA 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here