SHAH ALAM —  Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhasrat memperluas kerjasama antarabangsa dengan institusi pengajian tinggi di Kanada menerusi bidang pendidikan, kajian dan penyelidikan akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata langkah itu dibuat supaya kakitangan dan pelajar universiti itu dapat berkongsi ilmu dan kepakaran dengan beberapa institusi di negara berkenaan.

“Kita mahu adanya kerjasama erat antara UiTM dan institusi pengajian di Kanada menerusi pelbagai bidang termasuk berkaitan akademik supaya pelajar dan pensyarah kita lebih ke hadapan dalam bidang masing-masing.

“Langkah ini juga penting supaya kita  dapat mempromosikan nama UiTM di peringkat global seperti yang disarankan Naib Canselor universiti yang mahu UiTM lebih dikenali diperingkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Ceramah Bersama Duta Besar’ bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia G. Bentley anjuran Pejabat Hubungan Antarabangsa (OIA) UiTM, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah OIA Dr Zainab Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Azizul Halim berkata  UiTM turut merancang untuk mengadakan  program pertukaran pelajarnya  ke Kanada yang bertujuan mendedahkan mereka dengan budaya dan cara kerja masyarakat di sana.

Katanya, ia secara tidak langsung membuka peluang pelajar universiti itu untuk menyertai pasaran kerja di negara tersebut.

“Saya difahamkan Kanada mempunyai lebih 100 pusat pengajian tinggi di mana sekiranya ada program pertukaran pelajar yang melibatkan beberapa institusi pengajian di sana, ia akan memberi nilai tambah kepada pelajar kita.

“Mereka (pelajar)  ini akhirnya akan dapat meneroka pasaran kerja di sana dan saya berharap dengan kedatangan Julia pada program hari ini akan membantu merealisasikan hasrat universiti,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here