PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai (P.165), Johor yang dijadualkan pada 16 November ini memang menjadi tumpuan umum kerana ia dipercayai menjadi penutup tirai ‘pertempuran politik’ tanah air bagi tahun 2019.

Berdasarkan ‘mood’ politik semasa, ternyata majoriti pengundi berdaftar di kawasan Parlimen tersebut lebih cenderung untuk mengembalikan kerusi pemerintahan kepada Barisan Nasional (BN) diwakili calonnya, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei 2018, Wee Jeck Seng kalah tipis 524 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik (Bersatu).

Namun kematian mengejut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md. Farid Md. Rafik , 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Septembar 2019 itu mewajarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan dan BN mempertaruhkan calon asal, Wee Jeck Seng sebagai usaha mengembalikan haknya.

Kini UMNO dan Pas berkompromi memberi laluan kepada calon MCA bertanding kerusi tersebut sebagai persediaan atau isyarat awal dalam konteks kerjasama bersepadu untuk menakluk Putrajaya selepas PRU-15 akan datang.

Bukti ketara kompromi dalam PRK Parlimen Tanjung Piai itu ialah Pas tidak meletakkan calonnya, berbanding Pas bertanding untuk merebut kerusi tersebut menerusi PRU-14 lalu.

Keputusan PRU-14 Parlimen Tanjung Piai berdasarkan kira-kira 45,789 pengundi berdaftar yang keluar mengundi sebanyak 85.54 peratus menyaksikan calon PH Md. Farid Md. Rafik (memperoleh 21,255 undi), calon BN Wee Jeck Seng (20,731), calon Pas Nordin Othman (2,962).

Bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ini pula PH menyaksikan pertandingan enam orang calon yang terdiri daripada Karmaine Sardini dari Bersatu (PH), Wee Jeck Seng dari MCA (BN), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr. Badrul Hisham Abdul Aziz (Berjasa), Ang Chuan Lock (Bebas) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas).

Hanya dua calon yang menonjol menjadi sorotan media massa dalam ‘pertempuran’ PRK Parlimen Tanjung Piai tersebut iaitu Wee Jeck Seng dan Karmaine.

Menuju hari-hari terakhir pengundian menjelang Sabtu 16 November ini menyaksikan pemimpin BN dan PH peringkat negeri serta pusat berlumba-lumba turun ke lapangan berkampung membantu kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mereka menggunakan hujah yang boleh meyakinkan rakyat khususnya kepada para pengundi, termasuklah kempen yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa kekalahan BN dalam PRU-14 akibat kempen melampau PH menuduhnya sebagai ‘penyamun dan perompak.’

Bagaimanapun kata Najib, kini majoriti rakyat sudah sedar bahawa PH juga tidak dapat memenuhi janji dalam manifesto menyebabkan berlaku undi protes oleh pengundi berdaftar yang menyaksikan PH mula kalah bermula dengan PRK Parlimen Cameron Highlands, diikuti dengan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan PRK DUN Rantau dirampas oleh BN.

“Kita harap kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam Pilihan Raya Kecil kali ini dimenangi calon BN. Boleh tak beri sokongan kepada BN…,” tanya Najib kepada orang ramai yang menghadiri siri kempen PRK berkenaan.

“Bolehhhhh..!!!” Jerit orang ramai di kawasan Tanjung Piai sederap kuat bersuara penuh semangat menyahut seruan Najib.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan kerap berada di kampung halamannya itu aktif membantu kempen untuk kemenangan calon BN secara pendekatan cerdik, termasuk menggunakan medium sastera berupa pantun yang menerapkan mesej kesedaran supaya pengundi perlu memilih calon BN demi kelangsungan hidup lebih baik.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pula berharap supaya pengundi Cina Parlimen Tanjung Piai memberi sokongan padu kepada calon BN agar nasib mereka lebih terbela sebagaimana era Wee Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sebelum ini.

Menerusi media YouTube pula, ternyata propaganda kempen menyaksikan majoriti penduduk Cina di Tanjung Piai lebih cenderung menyokong Wee Jeck Seng, selain sambutan meriah mereka ketika menghadiri majlis kempen untuk calon BN itu.

Daripada fenomena tersebut secara umumnya penduduk lebih cenderung untuk mengembalikan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada kepemimpinan BN yang dianggap lebih prihatin kepada kebajikan rakyat.

Justeru melihatkan kepada ‘mood’ semasa pengundi kawasan Parlimen Tanjung Piai yang lebih mesra kepada Wee Jeck Seng, maka amat pelik jika calon BN itu kalah dalam PRK berkenaan?

Sedangkan undi penyokong UMNO dan Pas diyakini akan memihak kepada calon BN dan mungkin terdapat secara senyap-senyap pengundi PH dahulu yang menyesal akan beralih arah turut menyokong BN kali ini.

Undi Cina sahaja jika bersepadu sudah berjumlah kira-kira 41.52 peratus untuk mengundi kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili Wee Jeck Seng dan selebihnya dibantu oleh kuasa undi Melayu serta India yang memprotes PH bagi memberi kemenangan besar atau kemenangan tipis kepada calon BN itu.

Manakala kempen bagi calon PH, Karmaine Sardini, 66, diadakan secara diplomasi dan sehingga artikel ini ditulis, belum kedengaran atau dilihat kenyataan yang ekstrem daripada calon mahupun para pemimpin PH, berbanding dengan ‘serangan’ ekstrem yang dilakukan terhadap BN ketika PRU-14 dahulu.

Kesimpulannya terserah kepada kebijaksanaan pengundi berdaftar terkini dilaporkan berjumlah 52,986 di kawasan Parlimen Tanjung Piai kerana mereka lebih arif apa yang patut dilakukan untuk memilih pemimpin terbaik kerajaan dalam negara demokrasi ini demi kesejahteraan hari dan masa depan anak cucu masing-masing.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here