Cikgu buat tag khat biayai rawatan kanser meninggal dunia

0
541
FOTO: Facebook.

“SAYA minta maaf. Sesiapa yang sudah membuat bayaran untuk tempahan tag nama, saya akan pulangkan semula wang mereka.

“Mereka yang sudah mendapat tag nama, itulah kenangan ditinggalkan,” itu luahan Suzana Muhamad Tab, isteri kepada pesakit kanser Limfoma, Mohd Izzudin Zainal.

Mohd Izzudin iaitu guru yang mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat dari atas katil hospital bagi menampung kos rawatan disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), 8.05 malam tadi.

Suzana, 34, ketika dihubungi Harian Metro, memberitahu doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru.

“Semalam, arwah masih berusaha menyiapkan beberapa tempahan tag nama walaupun dalam keadaan sesak nafas.

PUSARA Mohd Izzudin Zainal di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam yang disahkan telah meninggal akibat jangkitan pada paru-paru pada 14 November pukul 8.05 malam semalam di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. NSTP/SUPIAN AHMAD

“Pagi tadi tahap oksigen arwah semakin menurun dan semua bacaan lain pada mesin mulai menurun.

“Sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor tetap berusaha memberi bantuan pernafasan di depan saya,” katanya dalam keadaan sebak.

Allahyarham Mohd Izzudin meninggalkan dua cahaya mata lelaki, Sulaiman, 5, dan Isa, 3.

Jenazah akan disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Al-Khadijah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam.

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/11/517246/cikgu-izzudin-pergi-jua
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here