Anak Amerika kempunan Sukan SEA?

0
627
SKUAD B22 Malaysia memburu pingat emas Sukan SEA ketujuh di Filipina selepas 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011.

Oleh KAKI BANGKU

SETELAH memilih untuk merehatkan Safawi Rasid, skuad Bawah 22 Tahun Malaysia ke Sukan SEA Filipina berdepan pula risiko kehilangan khidmat perantara kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal.

Masih menyembunyikan butiran dan sebab-musababnya termasuk isu pengeluaran pasport Malaysianya oleh Kementerian Dapam Negeri, Datuk Ong Kim Swee cuma mampu berharap segalanya akan tetap berjalan lancar.

“Kalau semuanya berjalan lancar kita harap, dia boleh disenaraikan. Kalau tidak, kenalah lupakan Wan Kuzain. Ada beberapa isu yang perlu diselesaikan, tunggulah tengah hari ini kami akan jelaskan,” kata ketua jurulatih B22 Malaysia ini.

Wan Kuzain, 21, yang menyarung jersi Sporting Kansas City dalam MSL, merupakan anak seorang profesor yang berasal dari Kelantan dan dilahirkan di Carbondale, Illinois serta memegang kerakyatan Amerika Syarikat.

WAN Kuzain Wan Kamal (kiri) dan Ong Kim Swee.

Pemain yang setinggi 1.78 meter ini yang tiba di Malaysia, Isnin lalu turut pernah dipanggil menjalani latihan dengan skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat namun masih layak mewakili kedua-dua negara ini sehingga dia memilih hanya satu skuad senior.

Sebelum ini, Kim Swee membuat kejutan dengan mengetepikan Safawi daripada skuadnya atas alasan wira dua gol Harimau Malaya yang menewaskan Indonesia 2-0 dalam Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, bakal kepenatan kerana kerap beraksi.

“Dalam sesi latihan, Wan Kuzain tunjukkan persembahan bagus di dalam dan luar padang sejak tiga empat hari ini. Begitu juga Akhyar Rashid, Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Razak dan Khairul Amizan Suhaimi,” katanya.

Bukan mudah buat Kim Swee memilih 20 yang terbaik daripada senarai 32 pemain sekarang tetapi keutamaan katanya, akan diberikan kepada mereka yang mampu bermain lebih daripada satu atau dua posisi pada Sukan SEA Ke-30 yang bermula Isnin ini.

“Agak mencabar hendak namakan mereka tetapi keputusan perlu dilakukan dan saya perlu lihat segi keseimbangan dan kedalaman posisi tertentu serta mengikut jadual rehat Sukan SEA. Jika ada yang boleh main dua atau tiga posisi, itu satu kelebihan,” katanya.

Sementara itu, perlawanan persahabatan skuad B22 negara di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, Selangor semalam menyaksikan mereka mencapai kemenangan dalam dua aksi berturut-turut yang masing-masing berlangsung selama 50 minit.

Skuad Kim Swee menewaskan Pilihan Northern Territory 3-0 menerusi jaringan Amizan, Luqman dan R. Dinesh manakala gol Fayyadh dan M. Kogileswaran Raj memastikan mereka mengatasi Pilihan Western Australia 2-0.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A Sukan SEA di Stadium Peringatan Rizal, Manila dengan menentang Myanmar (Isnin ini), tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).

Buat kali pertamanya sejak 1999, Sukan SEA membenarkan penggunaan khidmat dua pemain lebih umur 22 tahun dengan skuad negara telah menamakan Adam Nor Azlin, 23, dan Irfan Zakaria, 24.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here