FOTO: NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

BEKAS perdana menteri Najib Razak diarahkan untuk memfailkan pernyataan pembelaannya terhadap saman misfeasans yang difailkan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua.

Najib perlu berbuat demikian paling lewat 30 Disember ini.

Peguam Pua, Tan Cheng Leong memaklumkan perkara itu dan berkata ia dicapai selepas pengurusan kes di depan timbalan pendaftar Syahrin Jeli Bohari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Arahan telah diberi kepada defendan, iaitu Najib dan kerajaan, untuk membuat pembelaan (mereka) paling lewat 30 Disember,” katanya selepas pengurusan kes itu.

Dia berkata mahkamah telah menetapkan 6 Januari 2020 untuk pengurusan kes saman tersebut.

Ketika pengurusan kes hari ini, Najib diwakili peguam Norhazira Abu Haiyan manakala kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan Habibah Haron.

Pada 19 November lalu, panel enam hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan semula saman sivil yang difailkan Pua, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Oktober 2017.

Panel hakim memutuskan saman misfeasance boleh diteruskan terhadap perdana menteri dan menteri-menteri kabinet di pejabat awam dan kerajaan bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak saman itu dan menyatakan selaku perdana menteri, Najib bukan penjawat awam dan maka tidak boleh disaman atas dakwaan misfeanse.

Najib disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1MDB. Pua dalam samannya memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang penjawat awam kerana menjadi anggota parlimen Pekan, perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB (ketika itu), dan dalam kapasiti itu mempunyai peranan langsung dan tidak langsung dalam 1MDB.

Di bawah prinsip undang-undang biasa, seseorang penjawat awam juga termasuk ahli-ahli kabinet dan perdana menteri manakala Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebaliknya.

Dalam keputusannya membenarkan rayuan Pua, Mahkamah Persekutuan memutuskan tort (salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil) misfeasans boleh dikenakan terhadap Najib selaku individu yang memegang jawatan awam.

Ia juga mendapati Mahkamah Rayuan membuat khilaf dalam keputusannya bahawa perdana menteri dan kabinet tidak termasuk dalam takrifan “perkhidmatan awam” dan takrifan prinsip undang-undang biasa tidak boleh melangkaui undang-undang bertulis – dalam isu ini Perlembagaan Persekutuan – yang menyatakan sebaliknya.

Mahkamah Persekutuan juga mendapati peruntukan dalam Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan membenarkan tuntutan dibawa terhadap penjawat awam, termasuk perdana menteri.

“…Di tahap ini kelihatan tuntutan Tony Pua, prima facie, mengandungi unsur yang diperlukan.

“…Bagaimanapun sama ada dia akan berjaya (dalam perbicaraan) bergantung kepada pembuktian, memandangkan proviso dalam seksyen itu membayangkan kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap tindakan penjawat awam di bawah syarat spesifik tertentu.

“Kesimpulannya, ini bermakna Tony Pua boleh meneruskan tuntutannya terhadap Najib Razak dan kerajaan Malaysia menerusi perbicaraan di mahkamah sivil,” kata ringkasan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

https://www.malaysiakini.com/news/501269
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here