Pemegang saham FGV lulus semua resolusi fi lembaga pengarah pada EGM – CEO kumpulan

0
297
DATUK Haris Fadzilah Hassan/ NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR — Sebanyak 99.96 peratus daripada pemegang saham memberi kelulusan kepada enam resolusi fi lembaga pengarah pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) FGV Holdings Bhd hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) FGV pada Jun 2019, di mana resolusi mengenai pembayaran lembaga pengarah ditolak dan beberapa perbincangan telah diadakan dengan pemegang saham utama FGV.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang memiliki kepentingan sebanyak 33.7 peratus dalam FGV, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF; 5.0 peratus), dan Lembaga Angkatan Tentera Malaysia (LTAT; 1.25 peratus) menolak tiga resolusi berkaitan fi pengarah pada AGM yang lepas.

Sehubungan itu, Haris Fadzilah berkata resolusi baharu dibuat susulan keputusan daripada perbincangan dan turut sejajar dengan amalan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

Beliau berkata pelarasan utama dibuat ke atas fi tahunan pengerusi, yang berkurangan sebanyak 50 peratus daripada RM600,000 kepada RM300,000.

Sementara itu, fi pengarah kekal sebanyak RM120,000 setahun.

“Notis resolusi tersebut telah diberikan pada awal bulan ini kepada semua pemegang saham…kami turut memaklumkan kepada pemegang saham khas mengenai cadangan fi tersebut.

“Sebagai CEO Kumpulan FGV dan ketua pasukan pengurusan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli lembaga pengarah kami yang terus bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak beberapa bulan ini, komitmen kepada FGV oleh pihak pengurusan dan pemegang saham kami amat dihargai,” katanya pada taklimat media selepas EGM.

Beliau berkata lembaga pengarah turut memacu program transformasi di FGV, yang telah menunjukkan keputusan.

“Kami telah melaporkan kemajuan yang dicapai setakat ini pada taklimat suku tahunan kami yang lepas dan dalam surat kedua pengerusi kepada pemegang saham.

“Saya akan, pada masa ini, menekankan bahawa lembaga pengarah ini telah ditugaskan untuk menyelesaikan masalah-masalah di FGV,” katanya.

Beliau berkata lembaga pengarah berhadapan dengan cabaran — prestasi operasi yang lemah yang membawa kepada keputusan kewangan yang rendah dan pelaburan legasi, sebahagiannya terlebih nilai dan tidak mencatat prestasi yang baik.

“Kami di FGV dalam proses untuk menyelesaikan semua isu ini. Sebaik kami dapat membetulkan semua isu itu, kita akan mula menyaksikan keputusan daripada strategi pertumbuhan yang dilaksanakan oleh lembaga pengarah,” katanya.

Haris Fadzilah berkata FGV akan mengumumkan keputusan kewangan suku ketiganya esok.

Enam resolusi yang diluluskan hari ini ialah — pembayaran fi pengarah untuk pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bukan eksekutif berkaitan tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, serta pembayaran fi pengarah untuk pengerusi bukan eksekutif mulai 1 Jan, 2019 hingga AGM 2020 pada kadar RM300,000 setahun yang akan dibayar secara bulanan.

Resolusi lain ialah pembayaran fi pengarah untuk pengarah bukan eksekutif mulai 1 Jan, 2019 hingga AGM 2020; pembayaran faedah yang perlu dibayar kepada pengerusi bukan eksekutif berdasarkan struktur pembayaran dari 26 Jun, 2019 hingga AGM 2020; dan pembayaran faedah yang perlu dibayar kepada pengarah bukan eksekutif dari 26 Jun, 2019 hingga AGM 2020.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here