Impian Wan Maimunah apabila menjadi jutawan…

0
915
FAEZAH Ali (duduk di lantai) orang yang bertanggungjawab menubuhkan dan mengendalikan Mesra Home dan suami mengabadikan kenangan bersama para penghuni Mesra Home.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA sebut nama Wan Maimunah, pasti terbayang di mata kita seraut wajah dramatis serba boleh dalam menghayati apa jua watak yang diberikan kepadanya dalam setiap drama yang dilakonkan.

Berilah apa sahaja watak kepadanya dan apa yang pasti dia dapat menghayati dengan baik dan tidak akan menghampakan bukan sahaja pengarah malah para peminatnya.

Apabila melihat dia mendasari watak isteri malang dan teraniaya membuatkan hati wanita pasti tersentuh. Ibu yang dibuang oleh anak-anak dan terpaksa berteduh di tepi kubur, membuatkan perasaan sedih dan marah berbaur dijiwa anda. Dan sebagai isteri curang terhadap suami yang alim dan warak pasti menimbulkan kebencian di hati kita.

Itulah Wan Maimunah Wan Abdul Aziz yang mula menceburi bidang lakonan sejak awal 1970an lagi.

Beratus drama yang dilakonkan dalam pelbagai genre dan karakter, sebenarnya bukanlah cermin hati sebenar pelakon berasal dari Tebrau, Johor, ini.

Mendekati pelakon airmata ini, akan membuatkan anda larut dalam emosinya yang begitu tersentuh setiap kali melihat mereka yang kurang bernasib baik dalam menjalani sebuah kehidupan terutama ibu tua yang ditempatkan di rumah orangtua!

Perasaan sedih dan sayu sering membuatkan beliau sentiasa berdoa agar hasrat yang pernah disuarakan dalam rancangan “Our Dreams” terbitan sebuah stesen TV tidak lama dahulu, tercapai.

Mungkin ada yang ketawa apabila
tahu apa impian wanita berusia 66 tahun ini tetapi impiannya bukan main-main.

Tidak kurang juga ada yang terkejut apabila dalam program berkenaan tanpa teragak-agak menjawab apabila ditanya apakah impiannya?

Wan Maimunah yang membahasakan dirinya sebagai ‘Ibu’ kepada mereka yang usianya terlalu muda berkata, “Ibu mahu menjadi jutawan. Apabila dah jadi jutawan Ibu mahu membina rumah orangtua dan membantu golongan asnaf!

WAN Maimunah ( dua dari kanan) dan dramatis, Mak Jah ( dua dari kiri) bersama empat daripada 15 penghuni Mesra Home selepas Program Amal Minum Petang, di Hotel De Palma, Ampanh, Selangor, Sabtu lalu.

“Walaupun ada yang menganggap saya bagaikan ‘Mat Jenin’ dan bermimpi di siang hari tetapi saya tidak pernah lelah berdoa agar Allah SWT anugerahkan saya rezeki yang banyak dan berkat untuk saya berbakti kepada mereka yang susah!”

Rumah orangtua impian Wan Maimunah akan dilengkapi dengan pelbagai aktiviti riadah, kelas agama bagi memenuhi kehidupan seharian agar mereka tidak rasa tersisih.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa rumah orangtua menjadi keutamaan Wan Maimunah dan dalam suara sebak dan linangan airmata beliau mendedahkan;

“Dalam usia begini dan tawaran berlakon semakin kurang, saya tidak pernah menyesal malah bersyukur diatas anugerah Allah.

“Cuma disebabkan kerap ke rumah orangtua ketika penggambaran drama membuatkan hati saya bagai dihiris sembilu melihat mereka.

“Saya mendekati mereka dan selami jiwa dan perasaan serta hasrat mereka, akhirnya saya ke satu sudut meraung mendengar luahan hati mereka!

“Mereka bukan mahukan wang ringgit dan kemewahan tetapi dalam usia yang semakin pendek apa yang mereka mahukan hanyalah kasih sayang anak-anak!

“Saya tidak faham mengapa sampai hati anak-anak yang telah berjaya sanggup menghantar ibu mereka ke rumah orangtua tanpa belas kasihan!”

Bagi Wan Maimunah memang sukar untuknya membina rumah orangtua impiannya tetapi beliau tidak pernah berputus asa.

Dalam meniti harapan dan memenuhi impiannya dan jika keadaan mengizinkan, kini setiap kali berkunjung ke rumah anak angkatnya di Selangor, Wan Maimunah akan menjenguk Mesra Home.

Mesra Home yang terletak di Ampang dan menempatkan 15 orangtua yang tidak berkahwin dan tidak ‘diterima keluarga sendiri’ kerana pelbagai masalah kesihatan diusahakan oleh Faezah Ali secara sendiri sejak lima tahun lalu.

Dan Mesra Home menjadi pilihan Wan Maimunah kerana pernah menjalani penggambaran sebuah drama di situ beberapa tahun lalu.

“Disebabkan kerap ke Mesra Home saya cuba mendekati mereka kerana setiap mereka ada masalah dan kebanyakannya tidak boleh menguruskan diri sendiri.

“Selalunya bila ke Mesra Home saya berbual dengan mereka, bercerita untuk menghiburkan hati mereka yang sunyi.

“Adakalanya mereka ajak saya menyanyi. Saya ikutkan aje kerana itulah sahaja kegembiraan buat mereka selagi bernafas.

“Apabila mereka ketawa itulah kepuasaan dan kebahagiaan bagi saya.

“Bagaimanapun diantara 15 orang penghuni di sini, saya cuba mendekati dan menyelami hati dan perasaan seorang penghuni yang suka bersendiri.

“Mulanya saya perhatikan dia dari jauh. Disebabkan beberapa kali ke sini, saya mencuri-curi mengikutinya tanpa dia sedar.

“Hati saya bagai dihiris-hiris apabila melihat habit beliau kerana tanpa pengetahuan kita, rupa-rupanya beliau lebih suka berbual dengan tikus yang dikatakan lebih memahami masalah dan jiwanya!

“Allahu Akhbar…ketika itu hanya Allah yang tahu betapa sedihnya saya apabila Faezah beritahu penghuni itu mengidap bipolar disorder,” cerita Wan Maimunah.

Sebagai ganti untuk menghiburkan penghuni itu, Faezah simen lubang yang sering tikus keluar dan menghadiahkan beliau seekor arnab sebagai teman berbicara.

Bukan itu sahaja, setiap minggu wakil dari HUKM akan memberi suntikan kepada wanita berkenaan.

Menurut Wan Maimunah, hasil daripada bimbingan Faezah dan beberapa orang staffnya, kebanyakan penghuni di Mesra Home sudah boleh mengurus diri sendiri.

“Mereka sekarang dah bersih dan wangi sebab dah pandai tukar pampers sendiri.

“Bagi mereka, saat bersama mereka yang sanggup melayan dan berbual dengan mereka adalah seribu rahmat dan penawar luka. Wang ringgit tidak mampu memberi kebahagiaan kepada mereka!”

Menurut Wan Maimunah, meskipun impiannya untuk menjadi jutawan berharta tidak kesampaian dia amat bersyukur dianugerahkan perasaan dan kasih sayang terhadap insan yang terbiar dan disisih daripada keluarga.

“Biarlah saya hanya mampu menjadi jutawan airmata tetapi selagi masih bernyawa saya akan cuba menghiburkan mereka,” kata Wan Maimunah.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here