Kini suami boleh carum 2 peratus KWSP untuk isteri atau isteri-isteri

    1
    423
    FOTO: NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

    KUALA LUMPUR — Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2019 diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat semalam, selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

    Timbalan Speaker, Nga Kor Ming mengumumkan keputusan itu selepas RUU KWSP (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

    RUU itu bertujuan membolehkan pemindahan caruman suami sebanyak dua peratus ke akaun seorang atau ramai isteri yang sah, secara sukarela dengan ia akan terhenti sekiranya berlaku perceraian atau kematian sahaja.

    Amiruddin berkata, skim berkenaan dibuat bagi memberi perlindungan kepada isteri yang tidak bekerja dengan potongan caruman hanya akan dibuat sekiranya terdapat permohonan dikemukakan suami.

    Bagaimanapun, katanya, skim berkenaan tidak terpakai terhadap mana-mana isteri yang bekerja dan berhasrat untuk memindahkan caruman KWSP dalam jumlah sama kepada suami mereka.

    “Pemindahan caruman ini bergantung kepada maklumat diberikan suami dan akan berterusan sehingga pihak suami memberi dokumen tambahan untuk memaklumkan sama ada pasangannya meninggal dunia atau bercerai.

    “Potongan bagi skim ini akan dibuat sejurus caruman daripada pihak majikan suami diterima oleh KWSP, selain tiada tindakan dikenakan kepada suami sekiranya berlaku kelewatan caruman,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 1.33 peratus, iaitu 7,686 daripada 520,478 majikan berdaftar dengan KWSP dikenal pasti gagal mencarum bagi pekerjanya, sepanjang 2019.

    “Sebanyak 3,769 kes berkaitan caruman KWSP, membabitkan nilai RM30.04 juta dan 4,546 kes sivil membabitkan nilai RM139.88 juta sudah didakwa di mahkamah sepanjang 2019.

    “Selain itu, seramai 1,657 pengarah (syarikat) direkodkan memohon keluar negara kerana mempunyai masalah (caruman), manakala 840,000 akaun sudah beralih daripada skim konvensional kepada patuh syariah,” katanya.

    KWSP kini sedang menyediakan laman web khas untuk membolehkan pencarum membuat semakan larangan keluar negara. Laman itu antara lain akan turut memaparkan jumlah caruman tunggakan dan jumlah minimum perlu dilangsaikan.

    -BH

    Please follow and like us:
    error

    1 COMMENT

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here