Rupa-rupanya komunis masih hidup, belum jadi abu

0
1496
GAMBAR semasa majlis yang diadakan di hatyai, Thailand.

Oleh AMREE AHMAD

KETIKA ini, seluruh negara masih lagi gempar dengan isu gerakan komunisme seolah-olah cuba diaktifkan semula oleh saki baki kumpulan bekas pengganas dari Parti Komunis Malaya (PKM).

Ia bermula selepas tularnya berita lama yang baru didedah sebuah portal tempatan mengenai abu mayat ketua PKM, Ong Boon Hua atau Chin Peng dibawa balik ke Malaysia secara rahsia.

Lebih aib, ia kembali ke Ipoh, Perak kebetulan pada Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu 16 September lalu yang juga Hari Malaysia sebelum abunya itu ditaburkan di laut dan hutan.

Ini diikuti pula berita gempar hampir 400 mantan pemberontak gerila diharamkan itu gah bangga dapat berkumpul semula di bangunan Dong Zhong di Kajang, Selangor pada 1 Disember lalu.

Mereka mengadakan acara seumpama ‘reunion’ bagi peringati genap 30 tahun Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani mendiang Chin Peng dengan wakil kerajaan Malaysia pada 1989.

Ironi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan media sebagai tidak tahu-menahu perjumpaan panas tersebut walhal jarak ‘bandar sate’ itu dengan Putrajaya hanya 17 kilometer.

Jawapan sarkastik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut, yang sindir pihak wartawan konon lebih tahu daripada beliau, turut cetus kebimbangan rakyat mengenai cara kerajaan urus isu itu.

Bermula daripada sekadar abu orang mati yang didakwa Mahathir sebagai tiada apa-apa, diikuti gesaan resolusi perhimpunan bekas PKM di Kajang mahu perjuangan ganas mereka diiktiraf.

GAMBAR semasa majlis yang diadakan di hatyai, Thailand.

Paling biadab, mereka mahu pula kerajaan PH ubah buku teks subjek Sejarah di sekolah agar perakui jasa PKM sebagai pejuang kemerdekaan dan bukan lagi bertaraf pengkhianat negara.

Jika diperhatikan, begitu licik tindakan tersirat kumpulan gila itu semai ideologi sesat komunisme kerana sekiranya ia berjalan lancar, status PKM sebagai pertubuhan haram bakal ditarik balik.

Bayangkanlah kalau ini berlaku, mereka akan bebas aktif dalam politik arus perdana, bertanding secara demokrasi menerusi sistem pilihan raya sebelum kuasai tampuk pemerintahan negara.

Lebih dibimbangi, puak tegar fahaman Marxist ini bakal ubah perlembagaan jadikan Malaysia sebagai republik sosialis dengan hapus sistem beraja dan Islam bukan lagi agama Persekutuan.

Inilah senario buruk yang amat ditakuti jika tiada tindakan tegas diambil, apatah lagi umum maklum bahawa perjanjian di selatan Thai pada 1989 itu langsung tidak sebut PKM dibubarkan.

GAMBAR semasa majlis yang diadakan di hatyai, Thailand.

Mereka hanya ‘letak senjata’ dan diberi tempoh pengampunan selama setahun sekiranya mahu pulang ke Malaysia atau tinggal terus di sebuah kawasan perkampungan khas di negara jiran itu.

Ini bermakna secara teknikal, PKM sebenarnya masih berperang dengan kerajaan Malaysia kerana ia belum lagi ‘mati’ dan situasi itu berbeza dengan Partai Komunis Kalimantan Utara.

Pemberontak etnik Cina di Borneo itu, yang juga dikenali sebagai Pergerakan Komunis Sarawak, bersetuju dibubarkan hasil pemeteraian perjanjian damai pada 1990 dengan kerajaan Malaysia.

Senario PKM pula menyerupai kes gencatan senjata Korea 1953 yang menyaksikan perang tiga tahun tamat tetapi secara protokol, dua negara berjiran Utara dan Selatan itu masih berperang.

Justeru, kisah abu Chin Peng itu bukan sekadar debu mayat biasa sebaliknya ia simbolik tersirat kepada hidupnya semula fahaman atheisme secara kekerasan yang penuh episod kekejaman.

Secara kebetulan, ‘bunga’ ideologi komunisme sebenarnya telah berlaku tanpa sedar bermula dengan isu kontroversi pengedaran komik propaganda diterbitkan sebuah parti komponen PH.

Ia disusuli foto dan video tular pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik di pelbagai lokasi sempena Bulan Kemerdekaan waima terbaharu, bintang bucu lima yang sinonim imej komunis.

Apakah ada perancangan halus pihak tertentu cuba semai kembali agenda PKM dalam minda masyarakat khasnya generasi muda atau mereka sengaja mahu uji tahap kesabaran rakyat?

Setakat ini, majoriti besar warga Malaysia masih lagi berfikiran waras dengan tegas tolak PKM tetapi bayangkan jika sebaliknya. Semoga Allah melindungi kedaulatan bumi bertuah Malaysia!

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here