Kamsiah M Ali terus diminati hingga kini

0
416

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

KETIKA era kegemilangan pop yeh-yeh pada akhir 60-an dan awal 70-an, nama Kamsiah M. Ali meniti di bibir peminat.

Popularitinya sebaris dengan penyanyi pop ternama seperti Azizah Mohamad, Afida Es, Siti Zaiton, Fatimah M Amin, Fatimah HS, June Abdullah, Sanisah Huri dan lain-lain.

Kini setelah lebih lima dekad berlalu sejak kegemilangan irama pop yeh-yeh, Kamsiah, 75, tidak lagi aktif menyanyi dan banyak meluangkan masa bersama keluarga.

Namun begitu, beliau yang kini menetap di Air Kuning, Taiping, Perak tidak melupakan terus bidang nyanyian yang menempa namanya di persada seni.

Sekali sekala apabila diminta menyanyi pada majlis perkahwinan atau majlis-majlis keraian tertentu, Kamsiah tidak menghampakan harapan peminat.

Padanya itu sebagai menghargai para mereka yang selama ini memberi sokongan kepada beliau dan pada masa yang sama melepaskan kerinduannya untuk menyanyi.

Bakat Kamsiah terserlah sejak kecil dengan menyanyi pada majlis-majlis perkahwinan.

Namanya semakin harum apabila memenangi juara Bintang Radio Kawasan Utara pada 1963. Sejak itu karier seninya semakin menyerlah.

Tawaran menyanyi datang silih berganti, termasuk pada pertunjukan-pertunjukan pentas sekitar Taiping dan tempat lain.

Kemuncak kejayaan ini ialah apabila beliau menjadi rekording artis dengan merakamkan lagu ke piring hitam di Singapura pada 1966 ketika era pop yeh-yeh melanda Singapura dan Malaysia.

Orang yang berganggung jawab membawa beliau ke Singapura ialah penyanyi M. Osman yang dikenali sebagai ‘Raja Pop Yeh-Yeh’.

Pada waktu itu Kamsiah sudah pun bersuami. Beliau berkahwin dengan M. Ali, seorang pegawai di Penjara Taiping pada April 1963. M. Ali ialah abang kepada M. Osman.

Menurut Kamsiah, beliau merakamkan lagu ciptaan dan lirik oleh adik iparnya bersama kumpulan The Siglap Boys.

Lagu popular daripada piring hitam pertama ialah ‘Sayang Selintas’ dan ‘Joget Burung Senja’ berduet dengan M. Osman, yang juga suami kepada penyanyi Afida Es.

Selain itu Kamsiah juga merakamkan lagu bersama kugiran The Clans dalam satu piring hitam EP bersama M. Osman. Antara lagu popularnya ‘Sayang Selintas’.

Kamsiah kemudian menjadi anggota kugiran The Tornadoes, Taiping dan turut menghasilkan piring hitam dengan kumpulan berkenaan. ‘Batik Malaysia’ antara lagu popular beliau.

Bagi Kamsiah suaminya adalah pendorong dan tulang belakang yang menjadi penggerak kepada kerjaya seninya.

Pemergian suaminya pada Mac 1987 umpama padamnya pelita dalam hidupnya. Kamsiah tidak lagi aktif menyanyi dan banyak menumpukan masa membesarkan dua orang anak perempuannya.

Beliau tidak berkahwin selepas kematian suaminya sehinggalah kini walaupun ada yang cuba merisik dan menyatakan hasrat untuk mengahwininya.

“Saya lebih senang begini dan menumpukan masa menguruskan rumah,” kata beliau yang sejak dahulu memang tidak suka berjalan-jalan.

Jika tidak ada pertunjukan pentas ketika itu beliau dan dan suami lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang meluangkan masa dengan anak-anak dan empat cucu,” kata Kamsiah yang minat memasak.

Selain itu, katanya, beliau juga turut serta jika ada aktiviti kemasyarakatan seperti majlis-majlis bacaan Yasin dan tahlil.

Itulah rutin harian Kamsiah. Baginya kegemilangan lalu kini tinggal kenangan dalam lipatan hati.

Namun kesediaannya menyanyi sekali sekala dalam majlis tertentu, menyerlahkan cintanya pada seni tidak pernah padam sekalipun tidak serancak dahulu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here