Nash Lefthanded rancang kahwin tahun 2020

0
451

Oleh NAFSIAH JANI

PATUTLAH berseri-seri wajah penyanyi Nash Lefthanded sekarang ini. Rupa-rupanya pelantun lagu “Pada Syurga Di Wajahmu” dan “Ku Di Halaman Rindu” ini sedang dilamun cinta.

Walaupun pernah gagal dalam dua perkahwinannya terdahulu namun ini tidak pernah membuat penyanyi Nash serik untuk berkahwin semula.

Nash atau nama sebenarnya, Jamaluddin Elias tidak menyangka disaat-saat meniti usia 60 tahun nampaknya dirinya masih berpeluang untuk menemui cinta baru.

“Saya memang plan nak kahwin. Memang saya dah ada calon. Biarlah cerita tentang teman wanita itu jadi hak milik saya seorang. Teman wanita saya bukannya artis…orang biasa saja dan kami dah berkenalan lebih daripada lima tahun.

“Masing-masing ada karier dan teman wanita saya itu bekerja. Teman wanita saya tu memang sesangat muda daripada saya…sangat muda. Kini saya tengah merancang untuk membentuk teman wanita saya jadi isteri yang solehah,” kata Nash lagi.

Ditanya mengenai tarikh pilihannya untuk berkahwin semula, dengan pantas Nash bapa kepada tiga orang cahaya mata ini menjawab,”Tak lama lagi…doa-doakanlah. Mungkin tahun depan. Saya sudah pun berjumpa dengan keluarga teman wanita saya dan nampaknya saya selesa dan keluarganya juga nampaknya boleh menerima saya. Walaupun kami dah lama berkawan cuma baru-baru ini hubungan kami semakin serius… ada jodoh adalah.”

Nash yang masih merahsiakan tempat kelahiran teman wanitanya menambah, “Jika sebelum ini kedua-dua bekas isteri saya begitu menyukai saya dan selepas bercerai saya memasang impian untuk mencari isteri yang saya suka dan bukannya wanita itu menyukai saya.

“Tak sangka hajat saya tertunai juga. Memang saya sangat sukakan dia…bukan sebab dia suka saya. Itulah harapan saya dulu bila bercerai dengan kedua-dua isteri yang sebelum ini kedua-duanya begitu menyukai saya dan akhirnya kami bercerai juga.”

Walaupun sudah lebih 10 tahun hidup bersendirian namun kehidupan Nash tidak pernah sunyi kerana dirinya dikelilingi anak-anak dan cucu-cucunya.

“Sekarang anak kedua saya, Najeeha Nasha tinggal bersama saya berserta seorang cucu saya dan tak lama lagi saya bakal dapat lagi seorang cucu menjadikan cucu-cucu saya bertambah menjadi lima orang. Cucu-cucu saya inilah penghibur hati saya dan itu sebabnya hidup saya tidak pernah sunyi,” kata Nash yang ditemui sempena ulang tahun ke 30 program Melodi terbitan TV3 di Hard Rock Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini Nash bersama kumpulannya Lefthanded sibuk dengan projek khas bersama Hard Rock Café. Selain membuat persembahan di Hard Rock Café Kuala Lumpur, mereka juga bakal membuat persembahan di Hard Rock Cafe di Melaka dan Pulau Pinang.

Nash bersama kumpulannya juga kini sedang merancang untuk mengadakan konsert Lefthanded tidak lama lagi. Konsert ini diharap dapat mengubati rindu peminat terhadap kumpulan Lefthanded yang sudah lama tidak tampil bersama dalam sebuah konsert besar.

Selain Najeeha, 27, anak Nash yang lain ialah Fareena Nasha,29 dan Mohd Shameer Nasha, 21.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here