NILAI — Roti paung, sejenis bun yang begitu sinonim dan popular di Terengganu kerana keenakan dan teksturnya yang gebu, kini boleh dinikmati di Nilai, Negeri Sembilan.

Kedai Roti Paung Che Wan cawangan Nilai yang baru beroperasi di sebuah premis di hadapan Aeon Mall dekat sini, sejak 1 Mei lepas memudahkan penggemarnya untuk membeli roti berkenaan.

Apa yang pasti, para penggemarnya tidak lagi perlu menempuh jarak kira-kira 450 kilometer, semata-mata mahu menikmati roti paung di Kuala Terengganu.

Roti paung atau dikenali juga sebagai roti paun kerana beratnya kira-kira 1 paun atau bersamaan 453 gram sesuai dijadikan hidangan sarapan pagi dan minum petang, dimakan kosong atau dicicah dengan air teh atau kopi o panas.

Malah, keenakan roti yang berlemak ini boleh dihidangkan bersama-sama mentega, kaya atau kacang merah menjadikan ia kesukaan ramai, tanpa mengira bangsa.

MEMBAWA ROTI PAUNG KE NEGERI PANTAI BARAT

Pemilik cawangan Roti Paung Che Wan, Mohd Nadzry Md Yatim, 40, berkata resipi roti yang dihasilkan di kedai miliknya itu diperoleh sendiri daripada pemilik asal roti paung di Kuala Terengganu iaitu Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid, 42, dan isterinya yang mengusahakan roti itu di Terengganu sejak 2007.

“Roti paun ini berasal dari Terengganu. Nama asalnya ialah roti paun, tetapi bila disebut dalam loghat Terengganu ia menjadi ‘’roti paung’,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mohd Nadzry, bapa kepada tiga orang anak berasal dari Pontian, Johor, berkata sebagai penggemar roti paung, beliau mendapat idea untuk memperkenalkan roti paung Terengganu ke negeri di pantai barat.

“Setelah beberapa kali pergi ke Terengganu, saya mula terfikir kenapa tidak cuba membawa roti paung ini untuk dipasarkan kepada penduduk di Nilai. Jadi pada Mac lepas, saya ke Terengganu berbincang dengan pemilik asalnya untuk menjalinkan perniagaan kerjasama,” katanya.

Setelah mendapat persetujuan dengan pemilik asal, Mohd Nadzry memulakan perniagaan roti paung pertama di Negeri Sembilan dengan modal RM20,000. Beliau dibantu isterinya, Nur Halina Abdul Halim, 36, dan empat orang pekerja.

RESEPI ASAL, CARA TRADISIONAL

Mohd Nadzry berkata roti paung yang dijual di kedai Roti Paung Che Wan di Nilai yang juga cawangan kelapan Roti Paung Che Wan, menggunakan bahan dan resepi asal dari Terengganu dan beliau mengambil masa seminggu menuntut ilmu dan mempelajari teknik pembuatan roti yang betul.

“Saya ikut betul-betul resipi asal Che Wan dan hasilnya, pelanggan dari Terengganu dan pelanggan setia yang tahu rasa sebenar roti paung Che Wan mengakui rasa dan tekstur roti ini sama seperti roti paung Che Wan (Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid) di Terengganu,” katanya.

Antara bahan roti paung ialah tepung gandum, telur dan gula yang diadun sebati sebelum dibakar dalam ketuhar selama 10 minit dengan suhu 250 darjah Celcius.

“Dari segi penyediaan roti paung ini, ia agak rumit kerana perlu dilakukan cara tradisional dan menggunakan tangan bagi membentuk doh-doh kecil yang sama saiznya.

“Setiap hari, sebanyak 40 sehingga 50 kilogram tepung gandum digunakan untuk menghasilkan antara 300 sehingga 400 roti paung,” katanya yang turut mengusahakan restoran nasi Arab Marhaban Bikum di Dataran Nilai di sini.

BERI ROTI PERCUMA

Mohd Nadzry berkata selama enam bulan beroperasi, beliau tidak menyangka cadangan ‘membawa’ roti paung ke Nilai mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk setempat bahkan masyarakat dari negeri berhampiran.

“Pada peringkat awal, saya memberi secara percuma kepada pelanggan saya di restoran nasi Arab untuk merasai roti paung kerana rata-rata masyarakat di sini tidak begitu mengenalinya. Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, sambutan begitu mengalakkan.

“Lebih menarik, kedai saya menjadi tular sehinggakan pelanggan dari luar seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor sanggup datang ke sini semata-mata untuk menikmati keenakan roti paung,” katanya sambil menambah pelanggan tetapnya turut terdiri daripada kaum Cina dan India.

Meskipun kedai Roti Paung Che Wan cawangan Nilai ini beroperasi dari pukul 1.30 tengah hari sehingga 6.30 petang setiap hari kecuali Isnin, ​​​orang ramai mula beratur panjang di hadapan kedainya seawal 12 tengah hari.

‘’Setiap hari, kami mampu menjual antara 300 hingga 400 sebungkus roti dan terdapat dua inti iaitu mentega dan kacang merah dengan harga RM4.50 sebungkus,” katanya.

Selain cawangan di Nilai, Mohd Nadzry juga baru membuka sebuah lagi cawangan Roti Paung Che Wan di Bangi, awal Oktober lepas.

Untuk perancangan masa depan, beliau berhasrat menjadi pengeluar roti paung bagi semua negeri pantai barat semenanjung dan merancang membuka sebuah lagi cawangan roti paung di Pontian, awal tahun depan.

PERSAINGAN

Mengenai persaingan, Mohd Nadzry berkata beliau yakin roti paung mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana diakui peminat-peminatnya.

Tekstur roti ini lebih lembut berbanding roti lain, ia mampu bertahan walaupun mempunyai banyak persaingan dengan produk roti keluaran syarikat terkenal.

“Roti paung di sini, kita bakar baru setiap hari. Kalau roti lain di pasaran teksturnya kering tetapi roti ini lebih lembut dan lembab dan mampu tahan sehingga empat hari dan boleh dipanaskan kembali,” katanya menambah untuk membolehkan roti bertahan lebih lama, ia perlu disimpan dalam bekas tertutup.

Bagi pelanggan setia Roti Paung Che Wan, Norish Abdullah, 36, beliau pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan roti paung setiap minggu dan akan menempahnya awal-awal daripada Mohd Nadzry.

“Setiap kali saya hendak beli saya akan whatsapp pemilik terlebih dahulu untuk tempah siap-siap roti sebab bimbang habis dijual.

“Roti ini memang sedap dan teksturnya lembut terutama ketika makan panas-panas. Oleh itu sekali beli, saya akan beli tiga atau empat bungkus,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here