Stadium ragbi Malaysia terap konsep Newcastle

0
368
DUA pemain skuad Rimau 7's dan Panthera Ladies Malaysia memperagakan jersi baharu tajaan Al Ikhsan.

Oleh KAKI [email protected] HAFIZ AHMAD

STADIUM khas ragbi negara yang tender pembinaannya kepada kontraktor sudah dibuka Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, dijangka menerapkan konsep pembinaan sebuah stadium di Newcastle, Australia.

“Stadium ragbi Newcastle itu belum siap tetapi konsepnya mungkin kita ambil untuk digunakan dalam membina stadium khas ragbi Malaysia di tapak cadangan di Presint 14, Putrajaya.

“Konsepnya praktikal dan boleh memuatkan dua padang, satu bagi pertandingan dan satu untuk latihan. Kedudukan penonton juga akan dibina supaya boleh melihat kedua-duanya.

“Konsep itu juga sesuai bagi melangsungkan perlawanan ragbi tujuh sebelah secara serentak,” kata Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman penajaan kelengkapan pasukan negara dengan Al-Ikhsan Sports (AL Sports) di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Al-Ikhsan diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla.

Penajaan kelengkapan secara tahunan yang bernilai RM500,000 itu melibatkan tempoh tiga tahun dan satu tahun pilihan.

Sebagai permulaannya, kelengkapan AL Sports akan digunakan skuad negara, Rimau 7’s apabila ragbi Sukan SEA Ke-30, Filipina bermula Sabtu hingga Ahad ini.

Jersi jenama peneraju barangan sukan nombor satu Malaysia itu turut akan digunakan skuad 15 sebelah, wanita dan bawah umur kebangsaan.

Jelas Shahrul yang juga Ahli Majlis Ragbi Asia (AR), “kemungkinan stadium ragbi Malaysia itu juga terpaksa dikurangkan cadangan muatan penontonnya, daripada 5,000 kepada hanya 2,500 orang.

“Namun bagi KRM, angka itu masih OK dan mungkin dalam beberapa tahun selepas siap, muatannya boleh ditambah secara beransur-ansur sekiranya kita mendapat penajaan pihak korporat bagi bahagian tertentu tempat duduknya.

“Konsep penamaan bahagian tempat duduk sempena penaja itu mungkin boleh mencontohi Arena Axiata yang ditukar namanya daripada Stadium Putra hasil perjanjian penajaan RM55 juta dalam 10 tahun.

“Lagipun ketika Hong Kong menjadi tuan rumah saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) menentang Bunga Raya (skuad negara) pada 15 Jun lalu, muatan venuenya (Kelab Bola Sepak Hong Kong) hanya sekitar 1,000 orang,” katanya.

Ujarnya, sudah pasti spesifikasi antarabangsa seperti yang ditetapkan Ragbi Dunia (WR) dan AR akan dipatuhi dan diambil kira dalam pembinaan stadium di Putrajaya itu terutama sekali padang dan kemudahan asasnya.

Sementara menantikan pembinaannya siap kata Shahrul, kesemua perlawanan Divisyen Perdana ARC 2020 melibatkan Bunga Raya akan dilangsungkan di Stadium Nasional, Kota Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

“Ketika Malaysia menentang Korea Selatan dalam ARC 2018, kita dapat sehingga 15,000 penonton di Stadium Nasional yang dianggap satu rekod sambutan besar daripada peminat ragbi negara,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here