Zahid ambil 39 insurans untuk 20 kenderaan berjumlah RM72,209.57

    0
    313
    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/HAFIZ SOHAIMI

    KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarga mengambil 39 polisi insurans kenderaan bagi 20 kenderaan milik keluarganya, berjumlah RM72,209.57 dengan syarikat Allianz General Insurance, Mahkamah Tinggi diberitahu.

    Pengurus Allianz General Insurance cawangan Wisma Allianz, Jalan Gereja, di sini, Fang Suat Lim, 49, berkata polisi insurans itu dibeli Ahmad Zahid untuk 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

    Semalam, Fang memberitahu mahkamah Ahmad Zahid dan keluarga mengambil 23 polisi insurans kenderaan bagi 12 kenderaan mereka, berjumlah RM44,602.47.

    Hari ini, saksi itu berkata Ahmad Zahid mengambil 16 lagi polisi insurans kenderaan bagi lapan lagi kenderaan milik mereka berjumlah RM27,607.10 dan menjadikan kesemua polisi insurans kenderaan yang diambil adalah 39, yang berjumlah RM72,209.57.

    Katanya, nilai polisi insurans 20 kenderaan itu antara RM113.80 dan RM8,552.52 atas nama Ahmad Zahid, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis serta anak-anaknya, Nurulizwani, Datuk Nurulhidayah dan Ahmad Syafiq Hazieq.

    “Bagi kenderaan jenis Chrysler Wrangler bernombor pendaftaran J 38, Ahmad Zahid telah membeli dua jenis insurans bagi kenderaan ini berjumlah RM4,925.15.

    “Bagi kenderaan jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran KDN 38, Ahmad Zahid telah membeli dua jenis insurans bagi kenderaan ini berjumlah RM6,368.55,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

    Fang berkata demikian, semasa membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, pada hari kelapan perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

    Semalam, Fang memberitahu Ahmad Zahid dan keluarga mengambil empat jenis polisi insurans kenderaan iaitu private car policy, motorcycle policy, enhanced road warrior policy dan bike warrior policy.

    Saksi itu juga berkata kesemua polisi insurans kenderaan itu dibayar menggunakan cek dari tiga bank berlainan, iaitu Public Bank Berhad, Public Bank Islamic dan Maybank Berhad antara Januari dan November 2015.

    Katanya, kesemua polisi insurans kenderaan itu dibayar menggunakan cek menerusi Syarikat Maya Consultant Services dan ejen insurans, Ahmad Izhan Abdul Rashid kepada Allianz General Insurance.

    Fang turut diminta Lee untuk mengesahkan perakuan di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950  terhadap lapan resit rasmi Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, bagi pembayaran 39 polisi insurans berkenaan.

    Jumlah pembayaran yang dilakukan ialah RM65,070.04, dari Januari hingga November 2015.

    Menurut Fang, nilai bayaran polisi insurans seperti yang tertera di dalam setiap polisi insurans dan nilai di dalam resit rasmi adalah berbeza, kerana jumlah yang dibayar agen insurans kepada Allianz General Insurance telah ditolak komisen agen terbabit.

    “Agen insurans akan menerima komisen sebanyak 10 peratus daripada jumlah premium insurans yang dibayar oleh pelanggan,” katanya.

    Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here