AYAH kepada Muhammad Yusoff Rawther menjelaskan anaknya ada memaklumkan kepada keluarga tentang insiden salah laku seksual yang dikatakan melibatkan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ayah Yusof, Muhammed Ali Mohammed Idris berkata demikian bagi menyanggah datuk saudara Yusoff, Mohideen Abdul Kadir, yang mendakwa Yusoff tidak memberitahu insiden tersebut kepada pihak keluarga.

Sebaliknya, kata Ali, Yusoff memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak keluarga“pada hari sama atau tidak lama selepas” kejadian itu dikatakan berlaku.

“Saya sangat kecewa bahawa Encik Mohideen memilih untuk tidak berkomunikasi dengan kami atau mendapatkan pengesahan dari saya atau ahli keluarga saya tentang apa yang sebenarnya terjadi, sebelum mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap anak saya.

“Saya harap dia akan fikir lagi dan lagi, kumpul fakta dan kebenaran sebelum membuat keputusan sendiri di hadapan kamera,” katanya.

Pada Rabu, Yusoff yang merupakan bekas kakitangan Anwar, mengadakan sidang media mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di kediamannya di Segambut.

Yusoff turut membuat akuan bersumpah (SD) bertarikh 19 Novermber tahun ini berhubung kejadian itu, dan dokumen itu didakwa dikeluarkan sehari sebelum Kongres Nasional PKR yang bermula kelmarin.

Anwar menafikan tuduhan tersebut dan telah membuat laporan polis serta menghantar surat tuntutan kepada Yusoff.

Pada hari sama Yusoff membuat dakwaan tersebut, Mohideen yang merupakan datuk saudara Yusoff, tampil membuat dakwaan Yusoff dimanipulasi ahli politik untuk mencemarkan raputasi Anwar.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ali berkata Mohideen tidak mewakili ahli keluarganya.

“Encik Mohideen hanya merupakan abang kepada arwah bapa saya, tapi tidak mewakili pandangan ahli keluarga saya dalam apa cara sekalipun, dan dia juga tidak bercakap bagi pihak keluarga saya.

“Encik Mohideen tidak langsung terlibat dalam hidup Yusoff dan oleh itu, dia langsung tidak tahu tentang apa yang telah dan sedang terjadi (dalam kehidupan Yusoff). Dia bukan berada di posisi (yang sepatutnya) untuk memberikan apa-apa kenyataan berhubung anak saya.

“Keluarga saya menolak kenyataan oleh Encik Mohideen di atas, dan kami mahu buat kenyataan secara terbuka bahawa kenyataan beliau itu adalah tak perlu dan dibuat berasaskan tanggapan yang silap,” tambahnya.

Tambah Ali lagi, keluarganya tidak akan mengelak memberikan kenyataan lanjut berhubung isu itu, dan sebarang maklumat hanya akan disalurkan melalui saluran yang betul atau melalui mahkamah.

https://www.malaysiakini.com/news/502694
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here