Emas sepak takraw di hujung gading Si Gajah Putih

0
443
KHAIROL Zaman Hamir Akhbar menerima rawatan kecemasan namun pemeriksaan X-ray mendapati tiada kecederaan serius.

Oleh KAKI BANGKU @ ABDUL HAFIZ AHMAD
LUPAKANLAH pingat emas dan saksikan kemarau pingat emas regu berpasukan sepak takraw Sukan SEA kita berpanjangan lagi sejak 1993.

Manakan tidak! Malaysia seperti diduga kalah 3-0 dengan Thailand, semalam dalam perlawanan kedua liga sepusingan Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019.

Sama sahaja skripnya dalam acara ini pada temasya ke-29 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dua tahun lalu mahupun Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Justeru apa lagi yang tinggal kecuali perak atau gangsa di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon?

Itu pun perlu ditentukan dengan Indonesia yang masih liat seperti mana mereka menyekat skuad Abd. Talib Ahmad 2-1 dalam separuh akhir Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-34 di Bangkok, September lalu.

Skuad negara yang semalam mudah menundukkan Filipina 3-0 tetapi diratah SiGajah Putih dengan angka sama, pagi ini dalam misi separa mustahil dalam memburu kemenangan sekurang-kurangnya 2-1 untuk menjamin emas.

Kali terakhir skuad negara meraih emas regu berpasukan iaitu acara tertua Sukan SEAP/SEA diperkenalkan pada 1965, ialah di Manila 1991 di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman setelah menewaskan musuh tradisi itu 2-1.

Sebelah petangnya menyaksikan skuad Talib kembali lega setelah membenam Myanmar 3-0 namun kehilangan khidmat perejam, Khairol Zaman Hamir Akhbar pada penghujung set kedua perlawanan regu ketiga.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu tercedera kerana terhempas ke gelanggang ketika cuba mengadang libasan lawan pada kedudukan berpihak Malaysia, 20-19 sehingga terpaksa digantikan tekong, Syahmi Husin.

Tekong asal, Zharif Ibrahim Merican pula beralih ke posisi apit kiri bagi baki aksi itu namun mujurlah apit kiri, Aidil Aiman Azwawi yang bertindak sebagai perejam, memastikan kemenangan 23-21 dengan rejaman yang ditampan keluar lawan.

Set pertama itu dimenangi Malaysia 21-16.

Terdahulu Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, Afifuddin Razali dan Amirul Zazwan Amir membawa mata sulung apabila menang 21-12, 21-14 sebelum Hairul Hazizi Haidzir, Hafizul Hayazi Adnan dan Farhan Adam menjadikan kedudukan 2-0 menerusi kemenangan 21-8, 22-20.

Situasi jauh berbeza apabila skuad Kamol Tankimhong yang menampilkan semula Raja Libasnya, Pornchai Kaokaew selain tekong, Sittipong Khamchan dan pengumpan, Pattarapong Yupadee mengganyang Aizat, Afifuddin dan Amirul 21-11, 21-14.

Nasib Syahmi/Hairul, Hafizul/Azlan Alias dan Farhan dalam pertembungan regu kedua hanya berbeza sedikit namun tetap menyerah 17-21, 11-21 kepada Kritsanapong Nonthakote, Anuwat Chaichana dan Assadin Wongyota.

Hasrat regu ketiga negara untuk mencuri satu mata, sekurang-kurangnya mungkin mampu membantu peluang emasnya dalam kedudukan mata selepas empat perlawanan esok dengan Indonesia, tetap berkecai.

Jantarit Khukaeo/Pornthep Tinbangbon, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan enggan ‘memberi muka’ kepada Zharif/Said Ezwan Said De, Khairol dan Aidil apabila menang 21-15, 21-17.

Perlu diingat yang Indonesia yang mempertaruhkan semula tonggak senior di Subic seperti Husni Uba, Victoria Eka Prasetyo, Saiful Rijal, Abdul Halim Muliang dan Hendra Pago, menumpaskan Malaysia 2-1 untuk meragut perak Sukan SEA 2017.

Pertemuan mereka 10 pagi esok yang juga penamat liga sepusingan ini ibarat ‘tie-break’ kerana regu Malaysia (Syahir Rosdi/Zulkifli Razak, Azlan dan Farhan) menang 2-1 (18-21, 22-20, 21-11) dalam perlawanan akhir antara regu Sukan Asia di Palembang.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here