Tak benar sama sekali – Peguam negara nafi dakwaan Zahid isu abu Chin Peng

    "Umno sendiri yang mengadakan rundingan dengan Chin Peng dan PKM pada 1989."

    1
    590

    PEGUAM NEGARA, Tommy Thomas menjelaskan bahawa dia tidak pernah berkomunikasi dengan Ahmad Zahid Hamidi mengenai bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) abu Chin Peng.

    “Saya dimaklumkan tentang artikel di mana Zahid mendakwa bahawa saya telah memintanya ketika dia menjadi menteri dalam negeri, untuk mencadangkan kepada kabinet supaya abu Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

    “Ini sama sekali tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini petang semalam.

    “Saya tidak pernah berjumpa, bercakap, menulis atau berkomunikasi dengannya seumur hidup saya,” tambah Thomas, yang pernah mewakili Chin Peng sebelum dilantik sebagai peguam negara.

    Kelmarin, Zahid menyifatkan bahawa Thomas membalas dendam terhadapnya kerana tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang.

    Presiden Umno itu mendakwa, ketika itu beliau juga telah membangkitkan berhubung permintaan Thomas dengan kabinet.

    “Kabinet ketika itu memutuskan mayat Chin Peng tidak akan pernah diizinkan untuk dibawa masuk, apatah lagi ditanam di sini.

    “Tetapi harga yang mahal saya terpaksa bayar. Hal ini kerana peguam itu sekarang ini peguam negara.

    “Maka saya terpaksa membayarnya dengan 87 pertuduhan. Itulah hakikat,” katanya

    Zahid menghadapi tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) membabitkan Yayasan Akal Budi, pengubahan wang haram serta menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

    Peranan Thomas mewakili Chin Peng dibangkitkan semula selepas abu mayat pemimpin PKM itu dibawa pulang dan ditaburkan di laut dan hutan di Perak bulan lepas.

    Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa bahawa Thomas memainkan peranan dalam membawa kembali abu mayat Chin Peng.

    Menafikan tuduhan itu, Thomas berkata Chin Peng mempunyai hak untuk diwakili dalam prosedur undang-undang.

    Thomas turut mengingatkan bahawa Umno sendiri yang mengadakan rundingan dengan Chin Peng dan PKM pada 1989.

    “Ia (rundingan itu) dimulakan oleh kerajaan BN dan Umno di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, yang dipimpin oleh bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, yang ketika itu merupakan pengarah cawangan khas, dan perjanjian itu ditandatangani pada tahun 1989.

    “Jika Chin Peng dianggap sebagai orang yang sangat jahat, kenapa kerajaan Malaysia berunding dengannya dan menandatangani perjanjian dengan PKM.

    “Kerajaan menghormati perjanjian itu dan membenarkan bekas pemimpin PKM seperti Rashid Maidin dan Abdullah CD, untuk kembali ke Malaysia tetapi Chin Peng tidak dibenarkan.

    “Jadi apa salah jika Chin Peng membawa perkara itu ke mahkamah dan melantik peguam Malaysia untuk mewakili dia?” katanya menegaskan bahawa dia telah mewakili beratus individu lain ketika menjadi peguam.

    https://www.malaysiakini.com/news/502647
    Please follow and like us:
    error

    1 COMMENT

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here