Azhar: Saya tak pernah bincang kes Rafizi dengan AG

    0
    292

    PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa beliau tidak pernah berbincang dengan Peguam Negara Tommy Thomas berhubung isu rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

    “Satu-satunya kes yang saya pernah bincang dengan peguam negara baru-baru ini ialah kes Tian Chua, yang mana SPR merupakan pihak yang terlibat dan oleh itu mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu.

    “Saya atas kapasiti rasmi, mendapatkan nasihat daripada Thomas mengenai sama ada (keperluan) atau tidak untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes itu,” kata Azhar dalam satu kenyataan hari ini.

    Azhar berkata demikian sebagai respons laporan The Edge Market yang memerik Thomas yang mengaku “terkejut” atas notis rayuan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan dan membebaskan Rafizi dan kerani bank, Johari Mohamad atas tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

    Laporan itu menyebut Thomas terkejut kerana beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Azhar dan memutuskan bahawa tidak akan ada rayuan akan dilakukan.

    Terdahulu, Rafizi membidas AGC selepas rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Johari dan dirinya.

    Bekas anggota parlimen Pandan itu juga berharap Thomas melakukan perkara sama dengan mengheret ahli keluarga bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil yang terbabit dalam kes National Feedlot Corporation (NFC) ke muka pengadilan.

    Susulan itu Thomas dalam kenyataannya menjelaskan rayuan itu dibuat tanpa disedarinya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai yang mengingkari arahan.

    Sementara itu, Azhar menegaskan bahawa beliau tidak pernah membincangkan perkara itu dengan Thomas atau mana-mana pegawai di Jabatan Peguam Negara.

    “Saya merupakan penyokong kuat doktrin pengasingan kuasa dan saya sentiasa sedar mengenai bidang kuasa dan tadbir urus pelbagai institusi serta agensi.

    “Rekod akan menunjukkan bahawa saya seorang yang patuh terhadap doktrin ini dan saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa saya tidak akan campur tangan dengan hal ehwal mana-mana institusi dan agensi tidak berkaitan saya, apalagi mengambil bahagian dalam membuat keputusan, ” katanya.

    https://m.malaysiakini.com/news/502871
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here