Oleh TL ANG

KUALA LUMPUR — Persatuan Kriket Negeri Kelantan terpaksa mengetepikan dua kejohanan anjuran badan induknya, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) kerana berhasrat menyertai pertandingan ternama; saingan merebut Perisai Raja-Raja bermula 11 Januari hingga 31 Ogos tahun 2020.

Presiden Kriket Kelantan Datuk Azmi Mohd. Ali mengumumkan perkara ini sebaik sahaja mempengerusikan mesyuarat majlis persatuan itu di Kuala Lumpur 6 Disember 2019.

”Kami terpaksa melupakan aksi dalam pertarungan T20 dan liga 50 over kebangsaan kerana ingin bermain dalam pertandingan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang mula diperkenalkan sejak tahun 1951 lagi.

”Kejohanan dua ining ini lebih tercabar dan kami mahu menang dengan mengatasi juara bertahan, Negeri Sembilan,” kata Azmi, seorang peguam dan ahli korporat terkenal.

Satu lagi pertandingan anjuran MCA yang tidak akan disertai Kriket Kelantan ialah Fast Track Inter-State mulai Oktober 2020. Difahamkan Kelantan enggan mengambil bahagian kerana ia seakan-akan sama dengan pertandingan merebut Perisai Raja-Raja.

Apa pun Kelantan akan menyertai lima kejohanan anjuran MCA seperti pertandingan antara negeri perempuan, kejohanan bawah 19, bawah 16, bawah 14 dan bawah 12 kebangsaan.

PRESIDEN Kriket Kelantan Datuk Azmi Mohd. Ali

”Kami harap MCA dapat menganjurkan pertandingan yang dirancang kerana dalam beberapa musim sebelum ini ada kejohanan tidak dapat dikendalikan walaupun dijadualkan dalam kalendar pertubuhan itu,” katanya.

Sementara itu pasukan remaja Kelantan akan bersaing dengan skuad bawah 16 Melayu Afrika Selatan yang dikendalikan Ottoman CC pada 22, 34 dan 25 Disember 2019 di Bayuemas Oval,

Pasukan dari Cape Town itu juga akan bermain dengan remaja Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.

Azmi berkata, Kriket Kelantan juga merancang mengadakan persefahaman dengan Ottoman CC khusus untuk membangunkan kriket ke tahap lebih tinggi.

”Kita perlu beralih ke negara yang hebat dalam kriket berbanding hanya beraksi dalam pertandingan tempatan sahaja.”

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here