PLUS rangkul 3 anugerah penarafan indeks lebuh raya hijau

0
405
DARI kiri : Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah, Husni Md Yusuf, Datuk Azman (Pengarah Urusan), Mohd Fadzli Shaari (Pengurus Seksyen N5) & Wan Ahmad Awang (Pengurus Perniagaan Wilayah Utara) bersama anugerah yang dimenangi masing-masing.

PETALING JAYA – Buat julung kalinya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merangkul 3 Anugerah Penarafan Indeks Lebuh raya Hijau (MyGHI) 2018 bagi Kategori Lebuh raya Bertol (Beroperasi).

Kejayaan ini diraih selepas PLUS Seksyen S4 (Wilayah Selatan) memenangi anugerah Emas, manakala Seksyen C5 (Wilayah Tengah) meraih anugerah Perak dan Seksyen N5 (Wilayah Utara) pula menerima anugerah “Certified”.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menerima ketiga-tiga anugerah tersebut daripada Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan pada majlis penutup Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 baru-baru ini.

Azman bangga dan teruja dengan anugerah yang dimenangi oleh PLUS melalui operasi wilayah Utara hingga Selatan.

“Anugerah ini menyuntik semangat kami untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan lebuh raya kami pada setiap masa,” tambah beliau.

Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 telah disempurnakan menerusi sidang video oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 bertemakan ‘Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama’ buat julung kali itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan profesion teknikal dalam landskap kemajuan dan pembangunan negara.

Turut diadakan pameran yang disertai oleh syarikat-syarikat korporat dan agensi Kerajaan yang terdiri daripada PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, Sime Darby Property Berhad, Jabatan Kerja Raya dan LLM.

PLUS sebelum ini berjaya meraih pelbagai anugerah lain pada tahun ini, seperti Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2019, Anugerah Pengurusan Risiko Terbaik MARIM, Anugerah Strategic Risk Asia-Pasifik, ICQCC 2019 (Konvensyen Antarabangsa Pengurusan Kualiti) di Jepun, APQOIC 2019 (Persidangan Antarabangsa Organisasi Kualiti Asia Pasifik) di Indonesia, Anugerah Gangsa bagi Kategori Pengangkutan dan Pelancongan Putra Brands Awards 2019, Anugerah Inisiatif Hijau SEDA 2019, APIC 2019 (Persidangan Produktiviti & Inovasi) dan Anugerah MOB-EX di Singapura.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here