Oleh AHMAD ABDUL HAMID

MENDENGAR lagu saduran memang menghiburkan, apatah lagi jika irama Hidustan yang merayu-rayu mengusik hati.

Namun apabila lagu keramat ‘Negaraku’ disadur ke bahasa lain ia bukan lagi menyeronokkan tetapi satu penghinaan.

Video tular menunjukkan murid sebuah sekolah di Negeri Sembilan menyanyikan ‘Negaraku’ dalam versi bahasa Mandarin benar-benar mencabar kemulian lagu itu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Jika tiada video tular tersebut tetulah kita tidak tahu wujud perbuatan tidak bertanggung jawab ini. Entah berapa lama dan berapa kali ia sudah berlaku sebelum tular, kita tidak tahu.

Lebih mendukacitakan apabila Kementerian Pendidikan sendiri seolah-olah menganggap ringan perlakuan ini.

Kenyataan kementerian itu menyebut lagu ‘Negaraku’ dalam bahasa Mandarin itu hanya bertujuan untuk membolehkan murid-murid memahami maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikannya.

Alasan ini sukar diterima. Jika itu tujuannya kenapa dinyanyikan ‘Negaraku’ dalam bahasa lain kerana ia sepatutnya difahami dalam Bahasa Melayu.

Jika perlu, guru-guru boleh menterjemahkan liriknya dalam bahasa lain tetapi jangan disadur lagu berkenaan.

Walau ‘Negaraku’ dalam bahasa lain didakwa tidak dinyanyikan dalam acara rasmi, menyanyikannya di luar acara rasmi adalah contoh perbuatan tidak baik.

Sekolah yang sewajarnya menjadi tempat menimba ilmu dan menyemai kasih kepada negara telah dikelabui dengan perbuatan mirip penghinaan kepada lagu negara.

Pada usia muda di sekolah, anak-anak perlu dipupuk dengan semangat cintakan negara dan menguasai Bahasa Melayu.

Tetapi jika di sekolah mereka sudah diajar dengan perkara yang tidak asli, ia akan terbawa-bawa hingga ke usia dewasa.

Ini adalah kenyataan yang ada di depan mata kita sendiri. Ramai yang lahir dan membesar di negara ini tidak mampu menguasai Bahasa Melayu dengan baik walau pun sudah berusia berpuluh tahun.

Justeru jangan dianggap isu ‘meMandarinkan’ lagu ‘ Negaraku’ sebagai perkara kecil.

Pihak berwajib mesti menyiasat ke akar umbi dan tindakan tegas diambil agar ia tidak berulang.

Jika dibiarkan berlalu begitu sahaja maka pihak yang terlibat akan beranggapan ia bukan masalah dan akan mengulangi perkara yang sama pada masa lain.

Cukuplah dengan pelbagai penghinaan kepada negara sebelum ini seperti sengaja memasang bendera Malaysia terbalik, mengibar bendera dengan reka bentuk pecahan bintang yang salah dan lain-lain.

Kekang perbuatan tidak beradab ini agar tidak sampai jadi budaya yang menggugat keharmonian negara.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here