Sumbangan rakyat Malaysia realisasikan pusat tahfiz di Patani

0
1226
Oleh ARRAZAQ NAZRI yang berada di Patani, Thailand baru-baru ini.

 

PATANI, THAILAND – Seramai 1,000 pelajar dari wilayah selatan Thai seperti Patani dan luar negara bakal mendapat manfaat daripada sebuah pusat tahfiz yang bakal dibangunkan melalui sumbangan wakaf rakyat Malaysia.

Menurut Mudir Pusat Tahfiz Darul Ulama (PTDU), Ustaz Mohd. Adnan Abdullah, pelajar daripada pelbagai latar belakang sama ada kaya atau miskin diterima masuk ke pusat yang dibina di atas tapak seluas 150 ekar di wilayah itu.

MUDIR Pusat Tahfiz Darul Ulama, Ustaz Mohd. Adnan Abdullah.

“Sebelum proses pengambilan pelajar dimulakan, kami perlu menyelesaikan proses hak milik dan pelan pembangunan pusat tahfiz berkenaan.

“Kerja tanah telah dimulakan dan pengambilan pertama akan melibatkan pelajar Pendidikan Pra Sekolah Tahfiz Darul Ulama di Patani,” kata beliau ketika program lawatan pihak pewakaf dari Malaysia baru-baru ini,

Mohd Adnan berkata, PTDU yang berpusat di Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor, merupakan sebuah entiti swasta, sehubungan itu sumbangan umat Islam diperlukan bagi memastikan pembinaan pusat tahfiz ini menjadi kejayaan.

Beliau berkata, kekangan dana mendorong beliau untuk mendapatkan sumbangan menggunakan konsep wakaf dari masyarakat Malaysia.

Mohd Adnan berkata, program lawatan yang diadakan itu supaya pewakaf atau wakil mereka dapat melihat dan mengetahui ke mana wang mereka dibelanjakan.

“Kami mempunyai pusat tahfiz di Kundang Rawang dan peluasan operasi ke Patani dilakukan kerana tanah di sini masih murah kerana ketiadaan projek-projek komersial,” kata beliau sambil menambah pihak sentiasa telus dalam pelaporan projek dan juga pengendalian sumbangan wakaf orang ramai.

Mohd Adnan menambah, PTDU telah mencatat kejayaan dalam mengendalikan pusat tahfiz yang ada kerana terdapat pelajarnya yang berjaya melanjutkan pengajian di Mesir selain pusat pengajian tempatan dan luar negara.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan program wakaf di Kemboja pada 21 hingga 24 Disember ini dalam usaha mendapatkan sumbangan wakaf orang ramai untuk membeli tanah untuk tujuan pendidikan.

Sumbangan wakaf satu ekar tanah adalah sebanyak RM4000 manakala suku ekar adalah RM1000.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun 564100423448 Tahfiz Darul Ulama dan pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Ustaz Mohd. Adnan di talian 0193082784 dan Abdul Kadir di talian 0197744456.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here