Nine seronok berlakon

0
312

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BAGI peminat drama bersiri Satukan Rasa, mesti ada yang bersimpati dengan nasib Ben yang benar-benar menyayangi Indah Suhaila tapi cintanya tak kesampaian.

Pemegang watak Ben, penyanyi Nine atau nama lengkapnya Meor Zulkarnain Mohd. Zamhuri, 37, berkata, pada awalnya beliau ragu-ragu untuk melakonkan watak tersebut.

Rupa-rupanya sebelum drama arahan Hadith Omar itu, Nine sudah berulang kali mendapat tawaran berlakon tapi ditolak dengan baik.

Bagaimanapun untuk drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., beliau tak dapat menolak kerana risau dikatakan menolak rezeki.

“Mula ragu-ragu juga nak terima sebab saya lebih kepada nyanyian. Sebenarnya  sebelum ini ada dua tiga kali orang tawar berlakon dan saya rasa tak sedaplah kalau nak tolak kali ni.

“Saya anggap tawaran berlakon ini seperti satu rezeki, kalau saya asyik tolak saja tanpa mencuba, seolah-olah saya tolak rezeki pula. Alhamdulillah, saya memang gembira dengan penggambaran drama Satukan Rasa sebab saya minat walaupun susah sebenarnya.

“Kalau menyanyi konsepnya kita cari kamera tapi berlakon kita tak boleh tengok kamera. Awal-awal memang kekok, mata tu macam nak cari kamera saja. Ini kira pengalaman bagus untuk saya dan Hadith banyak membantu begitu juga dengan pelakon lain,” jelasnya yang pertama kali melakonkan watak yang banyak dialog.

Tambah Nine, antara yang mendorongnya untuk terima tawaran berlakon Satukan Rasa adalah ahli keluarga dan teman duo, Billy.

“Billy kata, pergi saja, kalau tolak awal-awal rugi, kita tak tahu takdir mendatang macam mana. Katanya mungkin ini adalah jalan untuk naik. Bila fikir balik, tu yang saya cuba.

“Awal-awal tu memang buat sebab pasal kerja. Bila dah berlakon baru saya perasaan perkara ini dah jadi sebahagian daripada minat. Menyanyi pun passion. Sebab saya tak suka anggap apa yang saya buat tu kerja tapi sebagai passion sebab saya suka.” ceritanya penuh semangat.

Kata Nine, walaupun tahu berlakon lebih penat daripada menyanyi tapi disebabkan minat, perkara begitu tak menjadi hal kepadanya dan kalau ada pelung  beliau mahu berlakon lagi.

Beliau juga sempat menyingkap kisah lalu sewaktu bersama Phyne Ballerz, di bawah pengurusan KRU Music. Katanya, ketika Phyne Ballerz sedang rancak dikenali, ada pihak pengurusan mencadangkan agar beliau berlakon tapi waktu itu Nine tidak yakin.

“Dulu KRU ada nak push saya dan anggota lain jadi pelakon tapi waktu itu saya rasa karier menyanyi belum matang lagi. Baru dua tiga tahun menyanyi lepas tu nak buat benda lain, saya rasa tak sesuai sebab waktu itu saya betul-betul nak tumpu pada nyanyian sebab nak kukuh kedudukan sebagai penyanyi,” katanya berkongsi kisah silam.

Menurut Nine, kali terakhir beliau merakam lagu adalah pada 2005 sebagai duo Billy Zulkarnain dan namanya kembali menjadi perhatian selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelima pada 2018.

“Sememangnya GV adalah pembuka jalan untuk saya kembali aktif dalam bidang seni. Saya bernasib baik kerana bekerja dengan keluarga, jadi waktu kerja dapat diatur, terutamanya sewaktu penggambaran Satukan Rasa.

“Sebenarnya, saya dan Billy sudah ada single baharu yang berjudul Sedap, ciptaan Omar K. Kami tunggu waktu yang sesuai saja untuk lancarkan. Konsep lagu masih R & B tapi lebih kepada elemen pop.

“Selepas 14 tahun, baru nak muncul dengan lagu baharu.  Mula-mula saya cuba buat tapi pengakhirannya masih sama dengan lagu yang pernah dihasilkan sebelum itu. Sebab itulah terpaksa minta tolong Omar K,” katanya.-

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here