Perginya seorang sahabat yang mulia

2
1106
NIK AZLAN... pernah berkhidmat dengan Tok Guru Nik Aziz.

Oleh TL ANG

SAYA kehilangan seorang sahabat pada tengah hari 9 Disember 2019. Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi; Ketua Jajahan (DO) Kuala Krai telah meninggal dunia di hospital daerah itu dalam usia 59 tahun.

Berasal dari Tanah Merah, Kelantan, Nik Azlan terdedah sekian lama sebagai pegawai tadbir kerajaan Kelantan. Pernah menjadi penolong dan timbalan ketua jajahan serta diberi tanggungjawab sebagai setiausaha sulit kanan kepada Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum menduduki kerusi Ketua Jajahan Kuala Krai pada Julai 2019, Allahyarham diamanahkan sebagai Timbalan Yang Dioertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Sebagai pegawai tadbir kanan di Kelantan, Nik Azlan amat mudah mendekati masyarakat apa lagi terlalu akrab dengan rakan-rakan. Saya sama kelas sejak darjah satu hinggalah enam di National Type English Primary School di Tanah Merah. Bapa Nik Azlan orang penting di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah. Bapanya, Abdul Hadi ialah ketua kerani manakala ibunya bertugas sebagai bidan kerajaan di Pejabat Kesihatan Tanah Merah.

Nik Azlan kemudian belajar di Kota Bharu sejak tingkatan satu di Sekolah Menengah Sultan Ismail dan seterusnya Maktab Sultan Ismail yang terkenal itu. Antara rakan sekelasnya ialah peguam ternama sekarang Datuk Azmi Mohd. Ali yang menguasai firma Azmi & Associates.

Apabila usia tua sebegini, kami sering berjumpa. Nik Azlan dan keluarga sering mengunjungi kami di rumah Keluarga Ang di Belimbing sewaktu musim perayaan Tahun Baharu Cina. Ramai juga rakan sekolah rendah akan hadir untuk majlis makan-makan di rumah kami pada waktu itu setiap tahun.

PENULIS (kiri) dan Nik Azlan (kanan) dalam majlis di Tanah Merah dua tahun lepas

Pada 28 November 2019, saya ke rumah Allahyarham di Tanah Merah. Nik Azlan waktu itu kasihankan saya kerana caj terlalu tinggi dikenakan untuk urusan memindahmilik tanah saya kepada dua anak. Allahyarham juga merancang pertemuan saya dengan Ketua Jajahan Tanah Merah pada 4 Disember 2019 untuk memuaskan hati saya yang memberontak berikutan kos tinggi dikenakan oleh kerajaan negeri berpandukan keoada Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan. Saya terperangkap dengan peruntukan enakmen itu kerana bapa berketurunan India dan ibu saya Cina Hokkien. Isteri saya orang Melayu dan kami berdua lahir di Kelantan.

Allahyarham bersimpati dengan saya berdasarkan sumbangan hampir 30 tahun membangunkan masyarakat Melayu dalam sukan dan pendidikan. Malah Nik Azlan yang pernah memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Kriket Negeri Kelantan juga terpegun dengan kemajuan dicapai oleh Melayu Pattani dalam sukan kriket berikutan dua pemain perempuannya mewakili Thailand hingga layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Australia. Saya antara yang mencetuskan perancangan memajukan masyarakat Melayu di Selatan Thai dalam bidang sukan.

Pada 7 Disember 2019, Allahyarham menghubungi saya dan kami berjanji untuk bertemu lagi pada hari pertama Tahun Baharu Cina, pada 25 Januari 2020,  Apapun janji ini sudah tidak kesampaian.

Nik Azlan adalah sahabat yang berhati mulia dan akan sentiasa dalam ingatan kami.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

2 COMMENTS

  1. Alfatihah kpd Cg Nik Azlan y merupakan tenaga pengajar di SM Maahad Muhammadi Pengkalan Chepa… sumbangannya amat bermakna kepada kami .. moga roh arwah dicucuri rahmat dan berada dibawah naungan panji para syuhada dan solihinn

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here