Talib bazirkan peluang pertikai pengadil – Zolkples

0
752
SKUAD negara sekadar meraih perak regu berpasukan sepak takraw Sukan SEA 2019 dan kian pasti kekal warna pingat ini bagi antara regu selepas terus dibenam Thailand 2-0, semalam.

Oleh KAKI BANGKU
 

KETUA jurulatih negara, Abd. Talib Ahmad sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada  untuk mencabar  keputusan pengadil pada waktu yang betul-betul sesuai dan genting ketika menentang Thailand dalam acara antara regu Sukan SEA Filipina, semalam.

Dia sebaliknya sudah menyia-nyiakan dua peluang berkenaan  yang diperuntukkan itu pada keadaan yang tidak mendesak atau tidak perlu sehinggalah  kedudukan genting pada  penghujung set kedua yang akhirnya tidak dapat membantu lagi.

Cabaran untuk membuat rujukan semula keputusan pengadil menerusi rakaman video sudah digunakan dalam sepak takraw sejak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, mirip dengan kaedah yang dipraktikkan dalam badminton dan tenis.

Kebiasaannya tindakan ini diperlukan pasukan dan pengadil dalam menentukan bola sama ada sudah keluar atau masuk di garisan tepi dan sekiranya kaki pemain melepasi sempadan jaring ketika melibas dan mengadang.

Aksi di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon itu menyaksikan Talib membantah keputusan pengadil dari Filipina memberikan mata kepada musuh tradisi itu gara-gara rejaman dan tampanannya dianggap menyalahi peraturan.

“Dia dan pasukan negara sepatutnya menghormati keputusan pengadil. Ada kalanya pun keputusan pengadil pernah menyebelahi kita tetapi dalam kes perlawanan itu, nasib pasukan kurang baik apabila pengadil memutuskan sebaliknya.

“Jangan pula dia dan pasukan hendak cuba jadikan pengadil punca sasaran emas sepak takraw kita tidak dapat dicapai,” kata mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kepada Bebasnews.

Membariskan Hairul Hazizi Haidzir/Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi (tekong), Azlan Alias/Afifuddin Razali (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) kalah 2-0 (12-21, 19-21) kepada Thailand yang ibarat final antara regu walaupun ada tiga lagi negara bersaing secara liga sepusingan – Singapura, Vietnam dan Filipina.

Si Gajah Putih yang dibimbing Kamol Tankimhong, membariskan Sittipong Khamchan/Kritsanapong Nonthakote, Pornchai Kaokaew/Anuwat Chaichana dan Pattarapong Yupadee.

“Thailand masih jauh lebih baik daripada pasukan kita, seperti mana mereka menang 3-0 dalam regu berpasukan (Sabtu lalu, juga secara liga sepusingan). Pertukaran dua pelibas dan tekong mereka hanya sebab taktikal.

“Bagi saya, taraf permainan pelibas Thailand, Pornchai dan Anuwat ini seimbang. Kelebihan jelas lawan ialah kawalan bola dan servis atau serangan mereka yang tidak mudah membuang bola berbanding kita,” tegas Zolkples, juga bekas Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou 2010.

Seperti mana regu berpasukan dengan masih dikuasai Thailand dan Malaysia sekadar beroleh perak, antara regu berlangsung secara liga sepusingan kerana hanya turut disertai tiga lagi negara, Vietnam, Singapura dan tuan rumah temasya edisi ke-30 ini.

Semalam turut menyaksikan skuad Talib bermandi peluh untuk menjinakkan Indonesia 2-1 dalam perlawanan terakhir regu berpasukan sekali gus membalas dendam kekalahan angka sama dan sekadar meraih gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Regu pertama negara (Syahmi Husin, Hafizul Hayazi Adnan dan Farhan) tewas 14-21, 19-21 namun regu kedua, Hairul, Azlan dan Aidil Aiman Azwawi menyamakan 1-1 apabila menang 21-19, 24-22 dan Zharif Ibrahim Merican/Aizat, Afifuddin dan Amirul Zazwan Amir memastikan perak dengan 21-16, 21-13.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader berkata, pasukan Malaysia sepatutnya mengemukakan bantahan secara rasmi menurut proses undang-undang pertandingan yang dibenarkan.

“Jika masih tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, ada saluran yang sah untuk membantahnya dengan menyertakan wang pertaruhan sebanyak AS$300 (RM1,260). Pengadil sudah jalankan tanggungjawabnya.

“Ini ada pula pegawai pasukan Malaysia (Wan Husni Abdullah daripada skuad wanita) yang mengerumuni pengadil selepas perlawanan itu dan meluahkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Astaf terpaksa mengambil tindakan tatatertib dengan menggantungnya daripada duduk dengan pasukan ketika perlawanan,” tegasnya  lagi.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here