Gol Safawi JDT kedua terbaik Liga Juara-juara Asia

0
277
SAFAWI Rasid ketika menentang Thailand dalam Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, bulan lalu.

Oleh KAKI BANGKU

JARINGAN jarak jauh sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid diisytiharkan sebagai yang kedua terbaik antara 10 Gol Liga Juara-juara Asia (ACL) yang dicalonkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sepanjang musim 2019 hasil pengundian umum menerusi laman sesawang, the-afc.com.

Golnya ketika menentang kelab China, Shandong Luneng dalam saingan Kumpulan E ACL 2019 pada 9 April lalu, mendapat 40 peratus atau 1,547,580 undi daripada undian keseluruhan, berbanding pemenangnya, Shojae Khalilzadeh dari kelab Persepolis (Uzbekistan), 2,306,432 atau 59 peratus undi.

Gol rembatan kaki kidal pemain Harimau Selatan dalam perlawanan yang disaksikan 11,602 hadirin di Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong, China ini kekurangan 758,852 undi peminat dengan libasan gunting kaki akrobatik pemain Iran itu ketika menewaskan Al Ahli 2-0.

Mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59, Safawi yang juga sayap Harimau Malaya, melarikan bola sambil disaingi pemain tuan rumah, Wu Xinghan lalu melepaskan rembatan melengkung dari sebelah kanan sejauh 22 meter biarpun JDT akhirnya tumpas 2-1.

Hampir empat juta undi umum diperoleh sejak dibuka 29 November lalu dengan keputusan undian itu disiarkan dalam the-afc.com, petang semalam.

SAFAWI Rasid (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan JDT selepas gol cantiknya terhadap Shandong Luneng dalam ACL 2019, April lalu.

Gol pemain Al Ittihad, Romarinho yang menyungkit bola masuk sebelum sempat diterkam oleh penjaga gol Al Rayyan pula diundi sebagai yang ketiga terbaik.

Calon gol terbaik lain ACL 2019 yang turut menyaingi Shojae dan Safawi ini ialah Islom Tukhtakhujaev (PFC Lokomotiv lawan Al Wahda), Gonzalo Viera (Al Ittihad lawan Al Rayyan) dan Serginho (Kashima Antlers lawan JDT).

Lain-lain termasuk Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor lawan Al Sadd), Kim Dae-won (Daegu FC lawan Melbourne Victory), Khalid Muneer (Al Hilal lawan Al Duhail), Fabricio (Urawa Red Diamonds lawan Guangzhou Evergrande).

AFC tidak memiliki kategori tertentu bagi mengiktiraf gol tercantik sepanjang pertandingan kelolaannya termasuk dalam Anugerah Tahunan AFC 2019 yang berlangsung di Hong Kong, 2 Disember lalu.

Agak pelik kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pun pernah mengiktiraf jaringan pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri ketika menewaskan Pahang dalam Liga Super 2016 sebagai pemenang Anugerah Puskas di Zurich, Switzerland pada 2017.

“Inilah gol terbaik dalam karier saya kerana saya jaringkannya untuk kelab terbaik di dunia, Persepolis.

“Terima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya untuk menang dan atas sokongan serta minat anda. Maknanya cukup besar bagi saya apabila gol itu dipilih sebagai yang terbaik dalam ACL 2019 dan diiktiraf oleh AFC,” katanya, dipetik daripada the-afc.com.

Benteng berusia 30 tahun ini turut melengkapkan hatrik setelah turut meraih anugerah Gol Terbaik Minggu Ini bagi hari perlawanan ketiga ACL dan Gol Terbaik Peringkat Kumpulan.
Safawi, 22, terlepas satu lagi anugerah berprestij ini setelah dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Bangi, Selangor pada 15 November lalu.

MVP itu merupakan satu daripada koleksi empat kategori yang dikuasainya termasuk Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan.
Anak jati Kampung Bukit Chatak, Dungun, Terengganu ini juga membantu JDT merangkul trebel Liga Malaysia musim 2019 dengan Piala Malaysia, Liga Super dan Piala Sumbangsih.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here