Serangan di hospital Republik Czech: enam terbunuh

0
177
SUSPEK yang dipercayai melakukan serangan / Foto: polis Czech.

Oleh FETTY RARA

SEORANG lelaki telah membunuh enam orang di bilik menunggu sebuah hospital di bandar raya Ostrava, Republik Czech sebelum membunuh diri.

Polis berkata mereka menjumpai mayat suspek di dalam sebuah kenderaan berhampiran lokasi.

BBC memetik laporan media tempatan bahawa kejadian berlaku di bahagian klinik trauma.

Seorang doktor yang berada di dalam hospital tersebut berkata staf hospital mengunci diri mereka di ruang koridor hospital sementara menunggu kejadian mencemaskan itu berakhir.

Suspek dikatakan menggunakan sepucuk pistol dan kemudian melarikan diri dalam sebuah kereta sebelum membunuh diri.

Susulan kejadian itu juga polis meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sekolah-sekolah, pusat membeli-belah dan lain-lain hospital.

Pada mulanya polis telah menyiarkan gambar seorang lelaki yang mereka kehendaki, tetapi kemudian mendapati bahawa lelaki itu adalah penyerang di hospital berkenaan.

Motif serangan masih belum diketahui.

Hospital Ostrava terletak kira-kira 300km di bahagian timur ibu negara Republik Czech, Prague.

Kejadian serangan bersenjata di Republik Czech amat jarang berlaku walaupun jumlah pemilikan senjata api agak tinggi di Eropah kerana populariti aktiviti memburu.

Minggu lalu kerajaan Czech tewas dalam usaha mencabar undang-undang Kesatuan Eropah untuk menghadkan penggunaan senapang separa-automatik yang diusulkan pada 2017 berikutan beberapa kejadian serangan oleh militan Islam pada 2015.

Kerajaan Czech mendakwa undang-undang tersebut tidak akan mampu mengekang tragedi serangan seperti yang berlaku hari ini.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here