Muhyiddin gesa pemimpin PH henti berbalah, tumpu kebajikan rakyat

0
236

MUHYIDDIN Yaasin menggesa pemimpin dalam parti komponennya agar menghentikan perbalahan dalaman dan segera mencari penyelesaian.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak mahu petik pemimpin mana….Sebaik mungkin lupakan sengketa, cari jalan terbaik, wujudkan kerjasama (dan) perpaduan yang boleh bantu kita melaksanakan amanah rakyat dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Presiden Bersatu itu juga berkata jalan terbaik adalah mencari penyelesaian secepat mungkin untuk menamatkan masalah dalaman sesuatu parti.

“Sebagai pimpinan dalam PH, mungkin bukan saya saja, kita kongsi pandangan dan sentimen yang sama. Sebaik mungkin tidak ada masalah dalaman parti atau komponen PH.

“Dan kalaupun berbangkit, cari penyelesaian dan lagi cepat lagi baik, kerana yang ditumpu oleh rakyat adalah komponen PH dalam kerajaan.

“Mereka nak lihat kerja kita bukan sengketa sesama sendiri,” katanya lagi.

Muhyiddin mengakui meskipun kerajaan telah memulakan banyak inisiatif untuk kebajikan rakyat dan menyediakan peluang pekerjaan, mereka masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Perbalahan antara dua pemimpin PKR itu masih berterusan setelah kongres nasional PKR menutup tirainya hujung minggu lalu.

Ketika kongres Sabtu lalu, Azmin dan sejumlah anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menyokongnya telah bertindak meninggalkan dewan susulan perbahasan oleh perwaklian yang dilaporkan menyasarkan Azmin.

Anwar dan Azmin dikatakan sudah setuju untuk menghentikan perbalahan ketika kongres, tetapi menteri hal ehwal ekonomi itu mendakwa kem Anwar melanggar perjanjian, yang menyebabkan mereka keluar dewan.

“Harapan para perwakilan dan pemerhati untuk ucapan dasar presiden supaya memberi tumpuan kepada dasar dan hala tuju yang bersifat inklusif dan progresif.

“Pidato presiden yang bermula dengan kisah klasik Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka jalan bagi pembahas ntuk melancarkan serangan peribadi dan membuat tuduhan terhadap pemimpin lain,” kata Azmin dalam sidang media ketika itu.

Dalam kisah sejarah Melaka, Si Kitol dan Raja Mandeliar adalah dua orang yang mengkhianati kesultanan Melaka yang menyebabkannya jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Ahad lalu, kem Azmin mengadakan himpunan di hotel Renaissance Kuala Lumpur, di mana para pemimpin yang berucap mengkritik Anwar dan kemnya.

Seramai 2,000 orang yang hadir di program itu yang dinamakan Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ketika ditanya berkenaan siasatan analisis forensik terhadap video seks yang mengaitkan Azmin, Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri berkata setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang laporan daripada pihak polis.

“Saya tak dapat lagi laporan terkini. Kena tanya IGP (ketua polis negara),” katanya.

Ditanya kemungkinan adakah pihak berkuasa boleh mendapatkan jawapan sebelum akhir tahun ini, Muhyiddin berkata: “Tidak kiralah hujung tahun atau awal tahun 2020 pun.”

Untuk rekod, pihak polis sudah menghantar video seks yang yang mengaitkan Azmin yang tular pada April lalu itu ke sebuah universiti di Amerika Syarikat bagi tujuan analisis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed sebelum ini berkata polis menjangka akan menerima dapatan analisis itu paling lewat akhir tahun ini.

https://m.malaysiakini.com/news/503264
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here