Aktiviti menarik sempena cuti sekolah

0
222

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEMPENA musim cuti sekolah ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan menganjurkan  program KL International Urban Youth Festival yang bakal berlangsung di Dataran Medan Pasar, 14 Disember ini.

Pada program tersebut pelbagai acara akan diketengahkan termasuklah persembahan muzik, seni grafiti, x-games hinggalah E-sport.

Acara kemuncak untuk program tersebut adalah  persembahan pelbagai nuansa muzik dalam dan luar negara yang selaras dengan jiwa remaja kota seperti hip hop, indie rock, reggae dan sebagainya.

Di antara selebriti yang terlibat ialah Ras Muhamad, Bittersweet, Ryotjones, Banyak Bunyi Republik dan Diplomat of Drum. Sepanjang acara berlangsung pelbagai acara ditampilkan seperti sesi open mic, B-boy dan lain-lain.

RAS Muhamad.

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun, penganjuran festival tersebut merupakan salah satu manifesto di bawah program Inisiatif Wilayah Peduli.

Katanya, program tersebut bertujuan memberi ruang kepada golongan remaja kota untuk berekspresi dengan kepelbagaian sub-budaya yang mereka minati secara sihat dan terkawal.

Tambahnya, dalam masa yang sama turut membuka ruang niaga sepanjang acara berlangsung yang pastinya dapat meningkatkan ekonomi golongan tersebut.

“Sebagai permulaan, KL International Urban Youth Festival berlangsung dengan skala sederhana serta penglibatan aktivis seni dari negara jiran tetangga seperti Singapura, Thailand dan Indonesia saja.

“Insya-Allah di masa akan datang kami akan kembangkan acara ini dengan penglibatan penyertaan yang lebih luas lagi.

“Di antara objektif penganjuran program ini adalah untuk menjadikan ia sebagai produk pelancongan bagi kota Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu,  Ras Muhamad yang merupakan duta reggae Indonesia amat teruja dengan penganjuran program tersebut.

Ras Muhamad berharap penglibatannya dalam acara teesebut dapat mengeratkan silaturahim antara dua negara.

“Moga keterlibatan saya dalam acara ini dapat merapatkan lagi tali persaudaraan serta meraikan rasa hormat dan cinta sesama tetangga,” ujarnya yang tak sabar untuk mengadakan persembahan.

Bagi vokalis kumpulan Bittersweet, Fizan berharap orang ramai dapat hadir ke Dataran Medan Pasar, Sabtu ini kerana acara itu sesuai untuk seisi keluarga dan percuma.

“Bagi yang merindui Bittersweet, inilah masanya untuk kita bertemu secara langsung. Saya yakin siapa yang datang tak akan kecewa kerana banyak persembahan menarik,” katanya yang popular dengan lagu Kucing Hitam dan Capital E itu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here