Maki pengadil Filipina: Wan Husni bakal digantung?

0
628
WAN Husni Abdullah (kiri) bakal dihukum lebih berat selepas Sukan SEA Filipina, gara-gara makiannya terhadap pengadil Filipina dalam perlawanan antara regu Malaysia dan Thailand, Isnin lalu.

Oleh KAKI BANGKU

‘KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’

Wan Husni Abdullah bakal menanggung padah lebih berat selepas digantung daripada bersama pasukan sepak takraw wanita Malaysia dalam Sukan SEA Ke-30, Filipina yang berakhir hari ini.

Yang terberat ialah digantung daripada sebarang kegiatan sepak takraw seumur hidup dan selebihnya ialah penggantungan dalam tempoh tertentu, didenda, diberikan amaran atau teguran mahupun gabungan kesemua hukuman itu.

Semuanya gara-gara pengurus pasukan wanita Malaysia itu didapati memaki pengadil perlawanan antara regu lelaki negara dengan Thailand di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon, Isnin lalu.

Roy B. Fabay ialah pengadil terlibat yang didakwa Husni, berat sebelah kepada Thailand apabila membatalkan rejaman dan tampanan apit kanan negara, Afifuddin Razali pada kedudukan mata 18-19 dan 19-20 dalam set kedua.

Skuad Abd. Talib Ahmad tewas 12-21, 19-21 kepada Si Gajah Putih dalam perlawanan liga sepusingan itu sekali gus gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi tanpa musuh tradisi itu, di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Kekalahan itu bererti sekadar dua perak yang dibawa pulang skuad lelaki Malaysia daripada Sukan SEA Filipina, termasuk menerusi acara regu berpasukan setelah turut kalah kepada Thailand 3-0 (11-21, 14-21), (17-21, 11-21), (15-21, 17-21).

Husni dikatakan melaungkan kata-kata kesat terhadap pengadil dari Filipina itu dari tempat duduk penonton sebelum mendekatinya secara agresif selepas perlawanan untuk mempersoalkan mengapa pembatalan yang dikenakan terhadap Malaysia.

Notis pertuduhan pelanggaran disiplin oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) itu dikeluarkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan ditandatangani Setiausaha Agungnya, Boonchai Lorhpipat dari Thailand.

Tindak-tanduk Husni dalam insiden itu juga diperincikan dalam laporan yang diserahkan oleh Pengadil Rasmi sepak takraw Sukan SEA 2019, Shamsul Kahar Lob dari Singapura.

Dia dikatakan melanggar Peraturan 16.4.2, 17.1, 17.2 dan 17.3 Undang-undang Permainan Sepak Takraw yang antaranya mengaitkannya mencetuskan gangguan terhadap pertandingan dan wajar digantung serta-merta sehingga satu keputusan diambil Jawatankuasa Tatatertib Astaf.

“Anda kini diberikan 14 hari dari tarikh notis pertuduhan ini dikeluarkan, untuk menyerahkan kenyataan pembelaan diri. Kegagalan menjawabnya dalam tempoh itu akan dianggap Jawatankuasa Tatatertib Astaf sebagai mengesahkan anda telah bertanggungjawab.

“Sekiranya terbukti bersalah, anda boleh dikenakan hukuman seperti amaran atau teguran, penggantungan (tempohnya akan ditentukan), didenda, digantung (daripada kegiatan sepak takraw) seumur hidup atau gabungan hukuman tersebut,” kata Boonchai dalam notis itu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here