Petisyen pilihan raya: Ahmad Hamzah kekal MP Jasin

0
207
AHLI Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) hadir prosiding semakan kehakiman petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

PUTRAJAYA — Datuk Seri Ahmad Hamzah daripada Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Jasin selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dikemukakan calon Pakatan Harapan bagi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mencabar kemenangan BN.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan KhaiMPruddin terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 12 Jun tahun ini.

“Walaupun kami bersetuju bahawa terdapat beberapa ketidakpatuhan, perayu gagal membuktikan bahawa ketidakpatuhan itu telah menjejaskan keputusan pilihan raya. Dengan ini rayuan ditolak dengan kos,” katanya hari ini.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk P. Nallini dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Tengku Maimun memerintahkan Khairuddin membayar RM30,000 sebagai kos kepada Ahmad selaku responden pertama dan sejumlah RM50,000 kepada pegawai pengurus pilihan raya kerusi Parlimen Jasin Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semasa ditemui pemberita selepas prosiding itu, Khairuddin berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada peguamnya.

“Pada saya kalah atau menang tidak penting, apa yang penting ialah untuk saya terus beri perkhidmatan terbaik kepada pengundi di kawasan Parlimen Jasin,” katanya.

Ahmad, yang memakai seluar hitam dan kemeja putih turut hadir di mahkamah hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya pada 12 Jun, tahun ini menolak petisyen Khairuddin untuk mengisytiharkan keputusan bagi kawasan Parlimen Jasin pada PRU14 tahun lepas sebagai batal dan tidak sah selepas mendapati Khairuddin gagal membuktikan elemen ketidakpatuhan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Pada PRU14, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan majoriti 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Ahmad memperoleh 26,560 undi manakala Khairuddin mendapat 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin yang memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas memohon perintah supaya keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Khairuddin diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad diwakili peguam Datuk  Mohd Hafarizam Harun dan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Zamrud dan SPR.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here