Saham BIMB naik 2.6 peratus selepas pengumuman penstrukturan semula

0
245

KUALA LUMPUR — Saham BIMB Holdings Bhd (BIMB) meningkat 11 sen atau 2.6 peratus kepada RM4.39 selepas mengumumkan ia akan melaksanakan penstrukturan semula kumpulan untuk memanfaatkan nilai penting bagi pemegang saham dan membuka ruang bagi penyenaraian Bank Islam Malaysia Bhd.

Pada 10.20 pagi, kaunter saham syarikat itu adalah antara 10 kaunter paling untung di Bursa Malaysia dengan 148,000 saham bertukar tangan.

RHB Reseach dalam notanya berkata rasional penstrukturan semula itu termasuklah penjimatan kos kewangan dengan penebusan Sukuk sebanyak RM52.8 juta setahun, memperkemas perniagaan untuk meningkatkan penyeliaan dan kecekapan serta mematuhi rangka kerja kecukupan modal Bank Negara Malaysia bagi Bank Islam.

“Berdasarkan penyata kewangan proforma (penempatan pada diskaun lima peratus kepada harga sahamnya), kami percaya kesan pencairan ke atas asas ekuiti Bank Islam akan terhad.

“Kesan ke atas pendapatan juga tidak banyak berbeza, namun pendapatan sesaham (EPS) mungkin meningkat berdasarkan asas saham yang lebih rendah,” katanya sambil menambah bahawa berdasarkan anggarannya, Nisbah Harga kepada nilai buku (P/ BV) untuk Bank Islam dari pelaksanaan korporat adalah kira-kira satu kali P/BV, berbanding 11.8 peratus ekuiti pulangan tahunan (ROE) bagi sembilan bulan 2019.

“Kami menganggap penilaian itu sebagai tawar-menawar, memandangkan paras ROE Bank Islam, dan merupakan satu-satunya saham perbankan patuh Syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.

RHB Research berkata ia tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan (RM802.6 juta FY2019) dan harga sasaran (RM5.10) selepas pengumuman itu.

Dalam kenyataan semalam,. BIMB berkata penstrukturan semula yang dicadangkan itu melibatkan lima komponen – penempatan cadangan saham BIMB baharu untuk mengumpul RM800 juta; skim pengaturan (SOA) oleh BIMB untuk menyelesaikan waran tertunggak; penyusunan semula dalaman; pengagihan dan pembayaran balik modal, dan penyenaraian Bank Islam.

Bersama tunai dalaman, keuntungan daripada penempatan itu akan digunakan untuk menyelesaikan sukuk tertunggak dengan Lembaga Tabung Haji.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula, BIMB juga akan menjalani penyusunan semula dalaman, di mana ia akan melupuskan anak syarikat pembrokeran saham dan pajakan kepada Bank Islam.

Seterusnya, pegangan saham BIMB di Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) akan diagihkan melalui cara pengedaran kepada pemegang saham BIMB.

BIMB akan melalui pengurangan modal manakala Bank Islam akan melaksanakan penyatuan saham.

Ini adalah untuk memadankan saham-saham terkumpul BIMB supaya pengagihan saham Bank Islam berada pada asas satu untuk satu.

Setelah pengagihan selesai. pemegang saham BIMB akan memegang kepentingan ekuiti langsung dalam saham-saham Bank Islam dan STMKB mengikut kadar pemegangan saham mereka di BIMB.

Status penyenaraian BIMB kemudiannya akan dipindahkan ke Bank Islam, yang akan muncul sebagai institusi kewangan Islam penuh, satu-satunya yang tulen disenaraikan di rantau ini dan meningkatkan kedudukan korporatnya.

— BERNAMA 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here