Ejen Ali  raih kutipan RM20 juta

0
755
FILEM Ejen Ali The Movie tarik perhatian ramai.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
 

FILEM animasi Ejen Ali The Movie berjaya meraih kutipan sebanyak RM20 juta dalam tempoh dua minggu selepas filem tersebut ditayangkan pada 28 November lalu.

Primeworks Studios dan WAU Animation berkongsi berita gembira tersebut dalam satu kenyataan akhbar semalam (12 Disember).

Ejen Ali The Movie merupakan filem pecah panggung tempatan apabila ia berjaya mendominasi carta filem tanah air dalam tempoh dua minggu berturut-turut. Filem tersebut turut ditayangkan di Singapura dan Brunei.

Fenomena Ejen Ali terjadi dek sokongan padu peminat-peminat Ejen Ali yang sentiasa memberikan maklum balas positif sehingga kini lebih daripada 1.7 juta orang telah menonton.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, Ejen Ali The Movie adalah penanda aras satu kejayaan baharu kepada syarikat berkenaan.

“Selepas 25 tahun bergiat dalam industri filem, Ejen Ali The Movie berjaya melakar sejarah tersendiri kepada Primeworks Studios.

“Kami bangga dapat menutup tirai 2019 dengan pencapaian yang hebat apabila berjaya bersaing dengan gergasi industri animasi lain di Malaysia,” katanya selaku pengedar filem tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif WAU Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin berkata, kejayaan filem Ejen Ali The Movie menjadi perangsangn kepada pihaknya dan sekali gus membuktikan hasil usaha keras mereka selama ini berjaya dan mendapat sokongan padu daripada orang ramai.

“Terus menyokong Ejen Ali The Movie. Harapan kami agar angka kutipan makin meningkat dan tidak terhenti setakat ini,” ujarnya yang turut bertindak sebagai pengarah filem tersebut.

Ejen Ali The Movie yang menelan kos RM6.5 juta, terbitan WAU Animation itu mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Agensi tersebut berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberjaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System).

Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Ali mempersoalkan tentang inovasi baharu itu kerana merasakan dirinya terpinggir dan kedudukannya sbagai ejen istimewa MATA tergugat.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here