Oleh AHMAD ABDUL HAMID
MAMPUKAH calon parti Demokrat menewaskan Presiden Donald Trump andainya dia terpilih lagi mewakili parti Republikan pada pemilihan presiden Amerika November 2020?

Pemilihan awal atau ‘primaries’ untuk menentukan calon yang bakal bertanding akan diadakan mulai Februari 2020.

Sementara Trump dijangka akan terpilih lagi mewakli parti Republikan untuk mempertahankan jawatan, tidak nampak calon yang berwibawa di kalangan parti Demokrat untuk menyainginya.

Daripada ramai calon Demokrat yang mengumumkan akan bersaing, tiada calon yang benar-benar ‘outstanding’.

Jika ada pun mungkin bekas naib presiden di bawah pentadbiran Presiden Obama, Joe Bedin.

Pengumuman jutawan media, Bloomberg, untuk menyertai saingan belum dapat menjamin dirinya dapat bertahan dalam saingan itu.

Yang lain hanya calon yang tidak terkenal dan dijangka akan kecundang dalam perjalanan untuk terpilih sebagai calon mencabar Trump.

Hillary Clinton yang dianggap calon popular tidak bertanding kali ini selepas tewas kepada Trump pada pemilihan presiden 2016.

Mungkin Hillary sudah putus asa. Pada tahun 2016 beliau yang diramalkan menang kerana populariti sebagai bekas wanita pertama dan Setiausaha Negara, gagal menepati ramalan tersebut.

Rakyat sebaliknya memilih Trump yang dianggap sebagai calon tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan.

Dalam ketandusan mencari calon ini, tokoh yang dianggap berwibawa dan berpotensi menyaingi Trump, Kamala Harris, menarik diri daripada persaingan pada awal Disember.

Senator dari California dan bekas Peguam Negara negeri California itu bermula dengan baik apabila melancarkan kempennya di hadapan 20,000 penyokong di tempat kelahirannya, Oakland, California Januari lalu.

Namun selepas perdebatan dengan Biden dan beberapa siri  perdebatan lain selepas itu, prestasi Kamala menurun.

Bermula sebagai calon harapan, peratus sokongan untuknya kian menjunam sehingga hanya tiga peratus, mengakibatkan Kamala terpaksa berundur.

Selain itu dia juga menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan kempennya. Untuk bertanding, bajet yang besar diperlukan dan Kamala tiada sumber membiayai kempen.

Para penyokong Kamala sangat kecewa dengan keputusannya. Namun dia terpaksa menerima realiti tidak mampu bertahan.

Dengan berundurnya ‘bintang’ yang kerap mengkritik Trump dalam kempennya, Demokrat ketandusan tokoh berwibawa untuk menyaingi Trump.

Namun laluan bagi Trump juga tidak mudah. Rakyat dapat menilai prestasinya selama memegang tampuk kuasa.

Tingkah laku dan keputusan-keputusan yang dibuatnya tidak disenangi bukan sahaja oleh rakyat Amerika tetapi juga negara luar.

Selepas bermulanya pemilihan awal calon pada Februari 2020, gambaran akan menjadi lebih nyata mengenai bakal calon yang mampu bertahan dan akhirnya terpilih sebagai calon presiden pada konvensyen parti.

Dijangkakan sepanjang tempoh pemilihan awal itu jumlah calon akan mengecil. Ramai yang akan menarik diri akibat peratus undi yang rendah atau kekangan bajet.

Jika Kamala dapat bertahan dan tidak menarik diri, Amerika mungkin menyaksikan wanita menjadi presiden setelah Hillary Clinton gagal melakukannya.

Justeru Kamala tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. Calon Demokrat yang terpilih merebut Rumah Putih 2020 bertindak bijak jika memilih Kamala sebagai calon naib presiden.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here