Daerah rompin dilanda banjir

0
266
SERAMAI 80 orang penduduk Kampung Kasing dan Kampung Setajam dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kawasan kampung mereka dinaiki air banjir. / IHSAN JBPM

KUANTAN — Rompin menjadi daerah pertama dilanda banjir di Pahang selepas enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu hari ini, bagi menempatkan 354 mangsa.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 7 malam, semua mangsa terdiri daripada 92 keluarga yang menetap di enam kampung sekitar daerah tersebut.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu mempunyai mangsa paling ramai iaitu 195 orang daripada 56 keluarga, diikuti PPS Kampung Setajam (95 mangsa, 24 keluarga) dan PPS Balai Raya Lintang dan Surau Kampung Perpat (29 mangsa, tiga keluarga).

“PPS lain yang dibuka ialah Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok (14 mangsa, lima keluarga), PPS Balai Raya Kampung Janglau (14 mangsa, dua keluarga) dan PPS Balai Raya Kampung Sepayang (tujuh mangsa, dua keluarga),” menurut portal tersebut.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusoff menerusi kenyataan medianya berkata banjir di daerah itu berlaku ekoran hujan lebat sejak petang semalam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman hari ini.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Daerah telah memberi bantuan memindahkan mangsa banjir ke PPS dengan penglibatan pasukan keselamatan termasuk polis, bomba dan APM sementara pihak JKM memberikan bantuan di PPS.

“Bantuan segera yang diberikan ialah bekalan makanan basah, selimut, bantal dan pembahagi ruang selain turut melibatkan aktiviti untuk golongan kanak-kanak dan kaunselor kepada mangsa,” katanya.

BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here