KUALA LUMPUR — Akibat dipercayai menyamun Orang Kelainan Upaya (OKU) seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memandu kereta jenis Perodua Myvi, dikejar sekumpulan penunggang motosikal sebelum dia dapat ditahan di Jalan Brunei, di sini, jam 5.20 petang semalam.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun itu yang dipercayai menginap di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang, awal pagi semalam, menemui OKU terbabit yang juga mangsa di hadapan hotel berkenaan sekitar jam 4 petang.

OKU berkenaan meminta bantuan suspek untuk menghantarnya ke sebuah bank di Jalan Pudu, bagi urusan membuat pengeluaran wang, sebelum mereka berdua menaiki kereta Myvi milik suspek.

Semasa di dalam perjalanan, berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka sebelum OKU terbabit yang ditolak keluar dari kereta suspek menjerit meminta pertolongan menyatakan dia cuba disamun.

Sekumpulan penunggang motosikal dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran kemudian mengejar kereta suspek yang didapati cuba melarikan diri di Jalan Pudu menghala ke Cheras.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular dalam media sosial semalam, suspek didapati bertindak agresif dengan cuba melarikan diri ditengah-tengah kesesakan dari arah Pudu Raya melalui Jalan Pudu menghala ke Cheras, serta melanggar beberapa buah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata atas bantuan orang ramai suspek dapat diberkas di Jalan Brunei Utara off Jalan Pudu, pada jam 5.20 petang.

“Tangkapan semula dilakukan ke atas suspek oleh anggota kereta peronda yang dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek didapati positif dadah jenis syabu dan akan direman bermula hari ini,” katanya selepas dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata tiada pemandu lain yang tercedera dalam pelanggaran yang membabitkan suspek namun mereka sudah membuat laporan polis trafik menerusi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk tindakan susulan.

“Pada masa ini OKU dipercayai berbangsa India terbabit masih belum membuat sebarang laporan polis.

“Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

-BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here