Bandar Rakyat Malaysia bakal dilaksanakan

    1
    631
    NORASHIKIN Shahrom (tengah) menjawab soalan pada sidang akhbar 'Seruan Restu Menuju 2020-2030' di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.

    Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

    KUMPULAN Syarikat Restu AG merancang untuk melaksanakan projek Bandar Rakyat Malaysia (BRM) bertujuan mengurangkan jurang komponen utama antaranya ekonomi, peluang kerja, pendidikan dan teknologi digital di kawasan luar bandar.

    Menerusi anak syarikatnya, Casaza Malaysia Sdn. Bhd., BRM akan bertumpu ke 400 hingga 450 daripada keseluruhan 576 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan nilai pembangunan kasarnya ialah sekitar RM500 juta di setiap satunya.

    Pengerusi Restu AG, Datuk Norashikin Shahrom berkata, BRM akan mengutamakan beberapa kawasan penting seperti perindustrian yang mampu dibina kilang-kilang bagi 500 jenama utama yang mengeluarkan produk berasaskan mineral atau bahan mentah dari negeri-negeri.

    “BRM juga akan menempatkan kedai-kedai komersial bagi rangkaian tempatan utama seperti farmasi, restoran, makanan segera, klinik, elektrik dan elektronik, hotel dengan kompleks beli-belah, kediaman dan kemudahan awam seluas 40 hingga 202 hektar.

    “Hotel ini akan diuruskan pengendali antarabangsa dan secara amnya mengandungi 200 hingga 250 bilik manakala dewan pameran (ballroom) mampu memuatkan antara 1,000 hingga 1,500 orang.

    “Projek pengenalannya akan berkisar di Terengganu, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka di mana kami akan berurusan terus dengan kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif The Love House of Celebration Group Berhad (TLG), Muhammad Hazim Zainal Abidin dan Pengarah Eksekutif Pelaburan Kumpulan Restu AG, Zulfathie Amin Zulkifli Amin.

    Restu AG merupakan syarikat pegangan yang mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung dalam syarikat-syarikat di Malaysia, Rusia (Moscow) dan Amerika Syarikat (Arizona dan San Francisco).

    Tumpuan lima industri utamanya ialah pembangunan hartanah dan e-dagang, khidmat layanan dan pelancongan, perbankan dan insurans, perdagangan antarabangsa dan pembinaan.

    Kediaman awam dalam BRM yang digelar Banglo Rakyat Malaysia pula jelas Norashikin, akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 dengan turut didirikan ialah sekolah awam, hospital dan balai polis serta bomba.

    Restu AG selain itu ujar Norashikin, bakal memeterai satu perjanjian persefahaman dengan rakan kongsi di Rusia, Crocus Group iaitu sebuah syarikat antara yang terbesar negara itu dalam sektor pembangunan hartanah dan pembinaan pada bulan depan.

    “Dengan termeterainya perjanjian itu, Restu AG akan meneroka pelaburan asing terus pertama kami di Moscow yang akan membawakan nilai perniagaan antara RM16 bilion hingga RM20 bilion kepada negara Eropah Timur itu yang dimulakan dalam suku pertama tahun 2020,” katanya.

    Satu lagi anak syarikatnya, TLG yang perniagaan terasnya ialah pelancongan dan khidmat makanan serta minuman pula mahu melebarkan sayapnya di Malaysia dan antarabangsa.

    “TLG berhasrat untuk membuka 11 outlet tempatan menjelang tahun 2020, sembilan di negara-negara Asia Tenggara menjelang tahun 2022 dan di 25 bandar raya seluruh dunia, dua tahun berikutnya.

    “Projek pengenalan bagi perluasan antarabangsa ini akan turut melibatkan Moscow dengan kerjasama pelabur Rusia.

    “TLG mahu menambah baik semua restoran yang dibeli pada masa hadapan, dengan menerapkan konsep Dapur Halal dalam kerjasama universiti tempatan menerusi program berkembar,” katanya.

    -BebasNews

    Please follow and like us:
    error

    1 COMMENT

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here