KUALA LUMPUR — Seni mempertahankan diri silat berjaya melakar nama ke peringkat antarabangsa apabila disenaraikan dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata, pengiktirafan itu diberikan dalam persidangan mesyuarat yang ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlansung di Bogota, Colombia.

Katanya, keputusan itu diputuskan oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat yang tediri daripada negara anggota yang dipilih bagi mengisi kekosongan kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

“Penyenaraian di peringkat UNESCO ini merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Pengiktirafan ini juga akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota dan seterusnya akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat warisan kebudayaan pada masa akan datang.

“Secara tidak langsung, warisan milik negera kita ini akan mendapat perhatian dariapada pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Delegasi Malaysia ke persidangan mesyuarat itu diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara bersama-sama Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PERKASA), Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, usaha pencalonan ‘silat’ dan dokumen berkaitannya telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan mendapat sokongan serta bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

“Pengiktirafan ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu, pada tahun 2008.

“Malah, tahun lepas, lagu ‘Dondang Sayang’ diiktiraf dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 yang diadakan di Port Louis, Mauritius,” katanya.

BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here