Sedih tengok rumah, bangunan kedai musnah

0
305
SEBAHAGIAN rumah penduduk dan surau di Kampung Tanjung Kemasik yang roboh akibat dibadai ombak besar.STR/ROSLI ILHAM.

CHUKAI — “Sedih apabila lihat semuanya musnah,” kata Zuria Aziz,35, selepas bangunan kedai dan rumahnya di Kampung Tanjung, Kemasik, dekat sini musnah ditelan ombak, kelmarin.

Zuria berkata, dia bersama suami dan tiga anak berpindah ke rumah saudara sejak seminggu lalu kerana bimbang ombak besar yang akan melanda.

“Kejadian ribut kencang dan ombak besar yang berlaku pada jam 11 malam kelmarin itu membuatkan saya risau mengenangkan rumah dan kedai makan milik saya.

“Pagi semalam, saya pergi melihat keadaan rumah dan bangunan namun kedua-duanya musnah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pakaian, kerusi meja dan pelbagai barangan lain hilang dihanyutkan ombak.

“Saya berharap kerja menambak pantai di kawasan itu disegerakan kerana ia penting demi menyelamatkan penduduk yang tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kemasik, Yusof Mohamad berkata, sebuah lagi rumah penduduk serta sebuah surau turut musnah dalam kejadian itu.

Menurutnya, air pasang besar yang disertai ribut kencang membadai dan meranapkan rumah penduduk yang juga nelayan pantai menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

“Sebelum ini, kejadian ombak besar ada berlaku namun tidak seteruk kejadian yang berlaku malam kelmarin sehingga memusnahkan dua buah rumah dan surau.

“Pihak kami sudah mengambil tindakan termasuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa yang terbabit termasuk keperluan yang lain.

“Tindakan awal sudah diambil dan pihak kontraktor sedang menambak batu untuk menahan hakisan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” katanya

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here