Wira gusti lengan dunia layak dipertimbang ganjaran KBS?

1
1842
JOFFEY Jolly (kiri) dan Mohammad Safuan Asif.

OOleh KAKI BANGKU

KEJAYAAN tiga atlet negara membawa pulang sebutir pingat emas, tiga perak dan dua gangsa daripada Kejohanan Gusti Lengan Dunia di Rumia, Poland, awal bulan ini mampu mengundang ganjaran tertentu daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Sekali pun bukan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) disaran agar merujuk kepada Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mungkin boleh menggunakan budi bicara dalam menimbangkannya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, “(permohonan ganjaran tiga penggusti lengan) perlu dirujuk kepada menteri terlebih dulu. Mungkin dalam bentuk insentif khas.

“(Gusti lengan) tiada dalam senarai Shakam atau jenis sukan yang belum pernah dipertandingkan dalam temasya sukan seperti Olimpik, Komanwel, Asia dan SEA,” katanya kepada BebasNews di sini hari ini.

JOFFEY Jolly (dari kiri), Abigail Kee, Jolly Johnson (kapten) dan Mohammad Safuan Asif menayangkan pingat Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019.

Joffey Jolly muncul juara dunia kategori senior 70 kilogram tangan kanan dan meraih gangsa berat sama bagi tangan kiri manakala Mohammad Safuan Asif dengan sebutir perak senior 57 kg kanan dan gangsa kiri dan Abigail Kee, dua perak remaja 70 kg kiri dan kanan.

Kejohanan Dunia edisi pertama ini dianjurkan Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) dan berlangsung di Dewan Sukan Mosir, Rumia yang terletak kira-kira 444.8 kilometer dari ibu kota Poland, Warsaw.

Safuan umpamanya sudah menyertai empat Kejohanan Dunia sebelum ini yang dianjurkan Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF) sejak 2015 dengan pencapaian terbaik anak jati Klang, Selangor ini ialah tempat ketujuh.

Kata Presiden MyArms, Mohd. Zil Fadli Abd. Halim, “MyArms berharap kementerian dan MSN boleh berikan perhatian kepada gusti lengan yang sebenarnya sudah bertapak sejak 90-an di negara ini.

“Kami harap akan adalah sedikit ganjaran untuk tiga wira Malaysia di Rumia itu. Laporan lengkap rasmi pencapaian mereka akan kami hantar kepada KBS dan MSN.

“Kebanyakan perbelanjaan menyertai kejohanan antarabangsa ditanggung atlet sendiri dengan sedikit penajaan tertentu. Jika ada ganjaran, pasti mereka lebih bersemangat dan gigih untuk memburu kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya.

EMAS senior 70 kg kanan Kejohanan Dunia milik Joffey Jolly (kanan) mampu dipertimbangkan insentif khas KBS.

Sementara itu, kejayaan manis dan bersejarah trio negara ini turut membangkitkan semangat MyArms menawarkan diri menjadi tuan rumah Kejohanan Asia 2020, seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung IFA di Rumia, 4 Disember lalu.

“Kami cuma perlukan venue bagi kejohanan itu dan sediakan hadiah. Gusti lengan ini masih sejenis sukan yang mudah disertai sesiapa pun tetapi tetap berdaya saing dan digemari orang ramai. Kami akan tinjau negeri-negeri yang berminat jadi tuan rumahnya,” katanya.

Zil juga amat berpuas hati dengan pencapaian terbaik Joffey, Safuan dan Abigail yang baginya berdepan cabaran sengit bukan sahaja daripada lawan terutama dari negara-negara Eropah Timur bahkan jadual undian, perbezaan masa tujuh jam dan cuaca sejuk.

“Kejayaan mereka hasil gabungan pemilihan strategi dan teknik pergustian lengan yang tepat, kekuatan mental dan fizikal serta tidak dinafikan, tuah turut memainkan sedikit peranan,” katanya.

Joffey menewaskan Yurii Dushko dari Ukraine untuk meraih emas kategori 70 kg kanan yang disaingi 16 penggusti lengan manakala Safuan dihampakan lawan negara itu, Pavlo Mateiash dalam pusingan akhir 57 kg kanan.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here