PADA tarikh bersejarah 1 Januari 2020 nanti, Malaysia akan menyaksikan pelaksanaan hukuman bagi peraturan baharu larangan merokok di tempat awam, terutama di restoran atau premis makanan.

Justeru rakyat Malaysia juga akan berpeluang menyaksikan siapa individu pertama yang bakal dikenakan kompaun atau denda hingga diseret ke mahkamah bagi kesalahan tersebut?

Menerusi peraturan yang akan bermula dikuatkuasakan itu, kerajaan telah menetapkan hukuman denda RM10,000 kepada kesalahan individu perokok di kawasan larangan khususnya di premis makanan.

Selain denda RM10,000 bagi kesalahan merokok yang telah diluluskan oleh kerajaan pada 2019 itu, pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun.

Bagaimanapun sebelum dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan merokok tersebut, individu terbabit yang dicekup dalam operasi oleh Penguat kuasa Jabatan Kesihatan itu akan diberi peluang untuk membayar kompaun berjumlah RM250.

Namun demikian perokok yang menjadi pelanggan restoran yang berhasrat untuk melampis ketagihan itu, mereka masih dibenarkan untuk merokok pada jarak kejauhan tiga meter atau kira-kira 10 kaki daripada premis makanan.

Sejak peraturan itu mula diperkenalkan pada awal 2019 sebelum diluluskan oleh Parlimen, ternyata perbuatan merokok oleh penduduk tempatan mahupun warga asing di kaki lima restoran masih berleluasa, menyebabkan asap rokok berkepul-kepul ditiup angin terus masuk ke bahagian dalam premis makanan.

Peraturan baharu larangan merokok di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut mengenakan ‘dua kategori hukuman denda’ kepada pemilik restoran yang gagal mengawasi kegiatan merokok dalam kalangan para pelanggannya.

Kategori hukuman pertama ialah denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan kepada pemilik restoran atau premis makanan itu ialah bagi kesalahan tidak mempamer tanda larangan menerusi poster atau stiker larangan merokok.

Kategori hukuman kedua ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan gagal memastikan pelanggan restoran atau premis makanan agar tidak merokok.

Apakah akan berulang lagi insiden pekerja restoran dikasari oleh pelanggan kerana cuba memberi amaran larangan merokok di premis makanan sepertimana yang berlaku di Shah Alam, Selangor ketika mula diperkenalkan pada awal 2019 lalu?

Kesemua penemuan baharu bagi peraturan larangan merokok di tempat awam itu adalah selaras dengan peruntukan dalam Peraturan 10, Akta (1983) tidak seorang pun dibenarkan merokok di kawasan larangan yang telah ditetapkan.

Ini juga berkait rapat dengan Seksyen 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (2004) melarang keras aktiviti merokok di tempat hiburan atau teater (pawagam), hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat (premis) makanan atau restoran berhawa dingin serta dalam kenderaan awam atau perhentian pengangkutan awam.

Juga meliputi kawasan larangan merokok bagi mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta, kawasan lapangan terbang, premis kerajaan, dewan orang ramai, institusi pendidikan, taman asuhan kanak-kanak dan dalam bas sekolah.

Larangan merokok itu diperluaskan ke kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Malaysia Berhad, kompleks beli-belah, kawasan stesen minyak kenderaan, dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium, dalam bangunan awam yang digunakan untuk aktiviti keagamaan, dalam perpustakaan, sekolah dan premis kafe internet.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Rakyat berkata, pihaknya giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan, selain menekankan aspek pendidikan dalam isu berkenaan.

“Sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa dan 31,422 notis amaran telah dikeluarkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula diterima semenjak Januari 2019 sehingga 3 November 2019,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dalam sidang Dewan Rakyat pada 14 November 2019 lalu.

Persoalan yang timbul dalam fikiran rakyat jelata ialah sejauh mana kejayaan peraturan larangan merokok di presmis makanan atau restoran itu nanti?

Juga sejauh mana keupayaan minoriti Penguat kuasa Jabatan Kesihatan untuk melakukan rondaan membasmi perbuatan merokok di premis makan di seluruh negara ini?

Apakah penguat kuasa jabatan itu memerlukan bantuan Penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan atau lain-lain agensi dilengkapi senjata bagi mencapai tahap penguatkuasaan maksimum dan berisiko keselamatan terdedah kepada ancaman tindak balas kasar daripada perokok tegar atau pemilik premis bagi kesalahan berkaitan merokok di kawasan larangan?

Jika usaha penguatkuasaan larangan merokok itu berjaya mencapai sasaran ke tahap maksimum, bermakna kerajaan akan dapat menambah sumber pendapatan kewangan baharu kepada negara hasil daripada kutipan kompaun atau denda mahkamah kesalahan merokok.

Selain itu jika kerajaan lain pula yang berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bermakna kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meninggalkan jasa kepada rakyat jelata kerana berjaya melaksanakan peraturan larangan perokok di premis makanan atau restoran yang bakal disambung peraturan berkenaan oleh kerajaan berikutnya kerana ia mempunyai ‘nilai yang baik’ kepada masyarakat umum.

Pendek kata, perokok sendiri perlu mempunyai budi bicara untuk memilih kawasan yang jauh daripada tumpuan umum bagi melakukan aktiviti merokok.

Lagipun merokok itu perbuatan yang sia-sia, malah pernah disifatkan sebagai tindakan ‘membakar duit,’ selain mendatangkan penyakit kepada perokok apabila pencemaran nikortin asapnya terus meresap ke dalam paru-paru atau jantung sekali gus mengakibatkan gejala pelbagai jenis penyakit membawa maut.

Kita harap peraturan merokok di restoran atau premis makanan itu juga dikuatkuasakan kepada perbuatan menghisap shisa ala budaya Arab, selain vape atau semua jenis hisapan berasap, termasuk paip atau rokok gulung yang berasap mencemarkan udara sekali gus mengganggu kententeraman awam.

Sebenarnya perbuatan merokok dalam kawasan premis makanan amat mengganggu keselesaan atau kesihatan pelanggan lain yang bukan perokok, termasuk mendatangkan bahaya kepada ibu mengandung dan kanak-kanak menghidu bau asap rokok mahupun semua jenis hisapan berasap itu.

Bagi sesetengah bukan perokok, mereka akan berasa loya tekak apabila terhidu bau busuk bercampur air liur dalam asap rokok itu yang tersebar ke dalam setiap ruang restoran.

Selain itu, terdapat juga perokok menggunakan kertas rokok gulung daun tembakau mahal dalam tin atau tembakau bungkusan dalam plastik secara tradisional digulung menggunakan daun pucuk rumbia kering.

Semoga semua perokok tegar akan patuh kepada peraturan larangan merokok di premis makanan mahupun restoran bermula 1 Januari 2020 dalam usaha menjimatkan wang untuk membeli beras, berbanding rugi jika dikenakan kompaun RM250 atau denda mahkamah RM10,000 akibat sebatang rokok, apatah ketika suasana inflasi susah untuk mendapatkan RM dalam era pemerintahan PH sekarang.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Syabas Kerajaan PH yang melaksanakan akta yang BN buat. Nak harap BN cuma pandai buat akta sahaja melaksana tak pandai. Yang BN tahu cuma makan dan menggalakkan rasuah. PH perlu wujud akta baru iaitu memberi hadiah kepada pengadu yang aduan kepada Kementerian Kesihatan mengenai perokok yang melanggar peraturan ini. Semoga dengan uasaha baik ini, PH dengan izin Allah boleh memerintah lebih lama daripada BN dan BN menjadikan pembangkang sampai hari kiamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here