Veteran tentera bantah kebangkitan semula ideologi komunis

0
482

KUALA LUMPUR — Kerajaan didesak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang terbabit dengan penyebaran ideologi komunis.

Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia Azizan Memali berkata, pihaknya percaya masih wujud gerakan yang didalangi individu tertentu untuk menyebarkan ideologi komunis dalam kalangan masyarakat kini.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak isu yang membangkitkan kemarahan kami seperti bendera malaysia terbalik, jalur gemilang lima bintang, mesyuarat bekas ahli PKM (Parti Komunis Malaya) dan abu mayat Chin Peng.

“Isu-isu ini dilihat sebagai gerakan untuk menghidupkan semula ideologi komunis yang didalangi individu tertentu. Justeru, kami mahu kerajaan supaya mengambil tindakan tegas supaya ideologi ini tidak menular dalam pemikiran masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perwira-Perwira Negara Membantah Usaha Menghidupkan Fahaman Komunis di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Seramai lebih 50 individu menghadiri himpunan berkenaan termasuk veteran tentera dan ahli daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kawalan anggota polis.

Azizan berkata, pihaknya tetap akan tetap berjuang menentang ideologi komunis dalam usaha memastikan perjuangan mereka mempertahankan negara sebelum ini tidak disiakan.

“Masih terngiang-ngiang jeritan rakan saya yang terkorban selepas ditembak komunis ketika perperangan dulu. Segala penat lelah serta pengorbanan mereka untuk memastikan rakyat hidup aman dan sejahtera perlu dihargai.

“Kami tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan gerakan menghidupkan semula fahaman komunis wujud semula. Selagi kami masih hidup, kami akan terus berjuang menentang gerakan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pahlawan Patriotik Rakyat Malaysia Kapten (B) Husnal Azhari berkata, sepanjang tempoh puluhan tahun peperangan menentang komunis berlaku sebelum ini, ramai anggota tentera yang terkorban dan cedera.

“Jangan pernah kita lupakan jasa mereka (tentera) yang terkorban dan cedera semata-mata mahu memastikan hidup generasi seterusnya aman dan sejahtera.

“Kami tetap akan solidariti dan tidak akan berundur daripada usaha mempertahankan keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, seramai 30 pegawai dan anggota termasuk daripada cawangan trafik membuat kawalan di lokasi himpunan berkenaan.

“Kawalan dibuat di lokasi terbabit bermula jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari tadi sebaik kumpulan berkenaan bersurai.

“Sepanjang himpunan itu berlangsung, tiada kekecohan berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here