Saya bercuti tanpa gaji – Ahmad Idham

0
946
BERDIRI dari kiri: Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin ( Dekan School of Creative Industry Management & Performing Arts (SCIMPA), Datuk Prof. Dr. Razak Mohaideen dan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SEPANJANG minggu lalu industri kreatif ‘dikejutkan’ dengan kontroversi Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang kononnya memohon memendekkan kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas bermula 4 Disember lalu.

Ahmad Idham dilantik sebagai CEO Finas pada 10 Mac 2019 untuk tempoh dua tahun dan berakhir pada 10 Mac 2021.

Berikutan permohonan memendekkan kontrak itu, Ahmad Idham kini diberi cuti selama tiga bulan dan bakal melepaskan jawatannya pada 10 Mac tahun depan.

Disebabkan kemelut itu yang berlaku pada 10 Disember, enam persatuan antaranya Seniman, Profima dan FDAM (Persatuan Sutradara Malaysia) telah mengadakan sidang akhbar dan menggesa Menteri Komunikasi Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ahli Lembaga Pengarah meletak jawatan.

Walaupun terdapat pelbagai cerita di sebalik kontroversi itu, Ahmad Idham lebih suka mengambil sikap berdiam diri.

Bagaimanapun, setelah saya menghubunginya pada 9 Disember, Ahmad Idham bersetuju untuk berjumpa pada 11 Disember di sebuah hotel di pinggir kota.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, banyak yang kami bualkan tentang perancangannya untuk industri namun lebih banyak lagi yang perlu ‘off record’ dan saya menghormati pendirian CEO Finas ini.

Ahmad Idham yang berkemeja-T hitam dengan jalur kuning, cap kelabu, nampak tenang apabila berbicara terutamanya tentang perancangannya sepanjang ‘bercuti’ tiga bulan ini, sambil berkata;

“Walau apa pun yang terjadi bagi saya hidup ini harus diteruskan. Saya punya isteri dan empat orang anak, saya mesti berkerja kerana saya bercuti tanpa gaji!”

Menyedari kenyataannya menimbulkan kekeliruan kepada saya, Idham menambah;
“Walaupun saya bercuti tiga bulan tanpa gaji tetapi saya masih terikat dengan peraturan sebagai penjawat awam!

“Saya harus mencari alternatif untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga dan setakat ini saya ada mendapat ‘offer’ dari beberapa buah universiti untuk menjadi pensyarah sambilan.

Bagaimanapun saya belum membuat keputusan di universiti mana saya akan bertugas,” tegas Ahmad Idham, pemegang Ijazah Perakaunan dari UiTM.
Mungkin ada yang mempertikaikan apakah kelayakan yang dimiliki beliau untuk menjadi pensyarah.

SESUATU yang pelik…kerana Dr.Ahmad Idham diberi cuti tiga bulan tanpa gaji.

Sebenarnya sejak tahun 2012, Ahmad Idham yang ketika itu masih meneruskan kerjayanya sebagai pengarah dan penerbit filem dan drama, telah ditawar oleh Universiti Utara Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Pada waktu yang sama beliau ditawarkan biasiswa Program MyBrain15 dan menjadi Ikon Program MyBrain15.

“Saya memilih untuk melanjutkan pengajian di universiti awam berbanding swasta kerana saya tidak mahu ijazah saya tidak diiktiraf.

“Sebabnya apa yang kita tahu ada segelintir universiti swasta yang kadangkala ijazah mereka tidak diiktiraf dan saya tidak mahu melalui itu semua.

“Sepanjang tujuh tahun ini untuk melayakkan saya mendapat PhD, (saya) bukan setakat menghadiri kelas sahaja tetapi lebih banyak melakukan kajian dan analisa dan ia adalah satu perjalanan yang amat menarik,” kata Ahmad Idham.

Memilih tajuk ” Industri Perfileman Malaysia: Satu kajian Ke Arah Pengantarabangsaan Filem Melayu” sebagai thesisnya, setelah tujuh tahun akhirnya Ahmad Idham mendapat surat dari UUM bahawa tesisnya itu diterima dan telah melayakkannya dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Selain Ahmad Idham dua lagi pengarah yang dianugerahkan PhD dari UUM ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Jins Shamsudin dan Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen.

“Menitik air mata saya apabila mendapat surat yang memberitahu tesis saya itu diterima dan saya akan gunakan sebaik mungkin demi industri filem kita,” kata Ahmad Idham yang kini boleh bergelar Dr. Ahmad Idham.

Dalam tesis berkenaan, Idham antara lain menyentuh tentang identiti filem untuk orang luar kenal filem Malaysia, pemasaran, eko-sistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia dan apa peranan kerajaan dalam membantu filem kita ditayangkan di peringkat antarabangsa.

“Kalau kita mahu filem kita ditayangkan di peringkat antarabangsa ia bukan setakat slogan tetapi yang penting mesti ada filem yang mampu menjadi filem blockbuster bukan filem tangkap muat,” kata Idham.

Ahmad Idham berkata dengan pengalaman dan kelulusan yang dimiliki itu sedaya mungkin beliau akan membantu bukan sahaja penggiat seni malah para pelajarnya demi memartabatkan filem Melayu di peringkat antarabangsa.

Selain memiliki PhD dan pengalamannya sebagai pengarah sejak sekian lama, Ahmad Idham memiliki ‘networking’ yang membolehkan beliau bekerjasama dengan Korea, Singapura dan Filipina.

“Walaupun saya akan berhenti dari Finas, tetapi saya belum berhenti sebagai penggiat seni dan saya masih boleh membantu industri kita.

“Sebagai pensyarah kerjasama dengan antarabangsa adalah antara kokurikulum untuk pelajar-pelajar saya kerana dengan itu kita boleh memperkenalkan filem kita,” kata Idham yang juga merancang menjalin kerjasama dengan Akademik Filem Busan.

Apabila ditanya apakah beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai pensyarah?
“Saya akan meneruskan kerjaya sebagai pensyarah apabila saya mengambil keputusan bersara sebagai pengarah.

“Buat masa ini saya masih rindukan kerja di set penggambaran. Insya-Allah saya akan mengarah filem tahun depan,” kata beliau.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here