Oleh AZIZ AHMAD SHARIFF

SATU lagi perang dingin nampaknya akan berlaku. Kali ini bukan kerana minyak, perlumbaan menakluki angkasa lepas, atau saingan untuk memiliki senjata nuklear lebih bertenaga, tetapi dalam bentuk ‘perang’ mata wang, iaitu Dolar Amerika dengan Renminbi (Yuan).

Dalam satu sorotan yang disiarkan oleh majalah Forbes, sejak syarikat Facebook mengumumkan inisiatif mata wang kripto, Libra pada Jun lalu, pengasasnya, Mark Zuckerberg telah menjadi tumpuan kontroversi.

Berikutan kontroversi tersebut, di Amerika Syarikat, pihak Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan menuding jari ke arah kerajaan kerana dikatakan ahli politik negara itu begitu ketinggalan zaman dari segi teknologi.

Justeru, dalam kekalutan Amerika Syarikat berbalah sesama sendiri tentang mata wang kripto Facebook itu, China pula dari jauh mula mengatur langkah.

Terbaharu diberitakan bahawa Bank Rakyat China (PBOC) bakal melancarkan versi digital mata wang Yuan China dan seterusnya menjadikan China negara pertama di dunia mengguna pakai mata wang bank pusat digital.

Langkah yang memakan masa 80 tahun untuk direalisasikan ini akan wujud sebagai juara dalam permainan perluasan ekonomi dunia.

Ekonomi Pasca-Perang

Setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan ketika negara-negara sibuk mencetak wang berlebihan dan sekali gus membelanjakan secara melampau untuk bajet pertahanan hingga menyaksikan banyak negara Eropah berdepan dengan ancaman kebankrapan apabila mata wang masing-masing mengalami penurunan nilai. Justeru itu mereka mendapati sukar untuk membina semula segala infrastruktur  mahu pun untuk mengambil bahagian dalam perdagangan dunia.

Pada 1944 dalam usaha untuk menstabilkan ekonomi global, sekumpulan pemimpin dunia telah mengadakan mesyuarat di Bretton Woods, New Hampshire, Amerika Syarikat untuk memperkenalkan apa yang dikenali sebagai Gold Standard (Standard Emas). Mereka memutuskan bahawa semua mata wang dunia akan terikat kepada Dolar Amerika pada kadar tetap yang seterusnya disokong oleh jumlah emas yang tersimpan. Berikutan itu, tertubuhlah institusi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mengawal kadar pertukaran, sementara semua negara ahli pula perlu menghantar simpanan emas masing-masing untuk disimpan di Amerika Syarikat.

Pihak IMF kemudian mewujudkan kaedah Hak Pengeluaran Khas (SDR) yang direka sebagai satu unit akaun atau pertukaran. Contoh: 1 SDR=1.38 USD. Hari ini SDR wujud berdasarkan sebakul mata wang, termasuk Dolar Amerika, Euro, Yen, Pound Sterling dan yang terbaharu, Yuan China.

FOTO: Wikimedia Commons.

Setelah Standard Emas diperkenalkan, era pasca-perang di antara 1945 hingga 1970 dianggap sebagai paling stabil dan makmur. Negara-negara melaburkan dengan banyak untuk membangunkan infrastruktur dan mempergiatkan sektor pembuatan yang menjana pekerjaan mewah dan seterusnya mewujudkan kelas masyarakat pertengahan di Amerika Syarikat. Pada masa itulah Amerika Syarikat tampil sebagai kuasa dominan dunia dalam arena politik. Keadaan itu wujud disebabkan kelemahan dan pemulihan sangat perlahan yang dialami oleh ekonomi negara-negara Eropah berserta ketidakcukupan kapasiti pembuatan dan kekurangan infrastruktur.

Pada 1971, Presiden Nixon telah menghapuskan Standard Emas bagi meneruskan usaha membiayai perang di Vietnam, dan sejak dari itu dunia telah berubah, tidak lagi seperti keadaan sebelumnya. Justeru, Dolar Amerika kekal sebagai mata wang simpanan global. Bagaimana pun, bermula daripada 1995 banyak negara Eropah mula menggunakan mata wang Euro yang bertujuan untuk menyatukan wilayah Eropah melalui perdagangan.

China pula telah mula berusaha untuk memperkasakan mata wangnya sendiri bagi merangsang perdagangan di antara 1994 dan 2005 apabila mata wang Yuan ditambat kepada Dolar Amerika.

Perubahan China yang dianggap sebagai satu keajaiban ekonomi telah membawa kepada reformasi ekonomi secara berpusat yang meluas hingga menyaksikan pertumbuhan KDNK sebanyak 10% setiap tahun. Keadaan tersebut telah berjaya mengeluarkan separuh jumlah penduduk China seramai 1.3 bilion daripada kepompong kemiskinan.

China dijangka mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi dunia terbesar menjelang dekad akan datang.

Pada 2016, mata wang Yuan muncul sebagai mata wang pasaran baharu muncul yang dibenarkan menyertai SDR IMF dan pada tahun ini (2019) berada pada tangga ke-8 dalam kalangan mata wang paling banyak diperdagangkan di dunia.’

Perang Dingin Terkini

Kepesatan kemajuan China kini mengejutkan kuasa-kuasa barat. Oleh yang demikian, perang dingin akan datang bukannya berupa pertembungan kegagahan ketenteraan, sebaliknya dalam dimensi digital.

Data kini lebih bernilai daripada minyak. Masyarakat moden sekarang digerakkan dan bernafas di atas kuasa lautan data, dengan Facebook dan Google paling di hadapan. Kesemua syarikat ini mempunyai tahap ilmu dan kekuatan melebihi apa yang ada pada kerajaan, walaupun dari segi kebertanggungjawapan masih lemah seperti kerajaan.

Dalam dunia nyata Amerika Syarikat begitu mudah menggunakan mata wangnya sebagai senjata untuk menghukum. Mereka telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas sekurang-kurangnya 12 negara setakat ini bagi mengubah pencorakan global. Selain itu, dalam dunia digital Amerika Syarikat juga memerangi syarikat-syarikat teknologi sendiri dengan mengenakan pelbagai peraturan hingga mencacatkan senjata penting yang boleh membantunya untuk mengekalkan kedudukan dominan di dunia.

Antara usaha yang digunakan termasuk rang undang-undang menyekat syarikat-syarikat teknologi daripada bersaing dalam sistem kewangan. Rang undang-undang  itu jelas menyasarkan Facebook, Amazon dan Google dengan cara menghalang mereka daripada mewujudkan apa yang dikenali sebagai mata wang kripto korporat. Strategi yang sama juga digunakan untuk memerangi syarikat-syarikat teknologi besar Amerika di Eropah melalui kaedah Peraturan Umum Perlindungan Data (GDPR).

Ketika banyak kerajaan sibuk cuba mengawal data, mereka masih belum lagi berfikir bagaimana untuk mengawal mata wang yang tidak terikat kepada sempadan tertentu. Kerajaan mungkin boleh melarang penggunaan  bitcoin dan lain-lain mata wang kripto, seperti mana dilakukan oleh Rusia dan China baru-baru ini, tetapi memandangkan transaksi mata wang kripto dibuat supaya tidak memerlukan entiti pertengahan, seperti bank pusat, larangan itu hanya lebih menarik orang ramai untuk menggunakannya.

Bagi negara China jawapannya bukan sekadar menyekat penggunaannya, tetapi sebaliknya menawarkan pilihan lain kepada rakyat, justeru menjadikan Pembayaran Elektronik Pembayaran Digital (DCEP) sebagai kaedah. Oleh itu, kemunculan China sebagai negara pertama mewujudkan mata wang digital yang disokong bank pusat bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana negara tersebut mempunyai landskap penggunaan pembayaran digital paling luas berbanding mana-mana wilayah di dunia.

-BebasNews

Leave a Reply