Juara GV6: Naqiu atau Hady?

1
797
HADY Mirza dan Jatt Ali

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

MALAM esok (Ahad) adalah penentu segalanya. Setelah 10 minggu bersiaran (bermula 13 Oktober), Gegar Vaganza musim ke-6 akan melabuhkan tirainya dengan menobatkan seorang daripada enam peserta akhir sebagai Juara GV6.

Setiap peminat setia program ini mempunyai pilihan masing-masing agar artis kesayangan mereka – Naqiu Boboy, Hady Mirza, Jatt Ali, One Nation Emcees, Sham Visa dan Nurfatima menjuarai GV6.

Bagaimanapun tidak boleh dinafikan keenam-enam mereka mempunyai kebolehan dan gaya persembahan tersendiri.

Jika mengimbau kembali persembahan mereka selama 10 minggu, memang sukar untuk dinafikan kehebatan Naqiu yang mengungguli tempat pertama selama lima minggu (minggu kedua, ketiga, kelima, keenam dan kelapan) berbanding yang lain.

Naqiu sering muncul dengan persembahan yang bertenaga dan suaranya yang dikatakan versatil telah membantu meletakkannya sebagai peserta paling berjaya dalam GV6.

Meskipun sebelum menyertai GV6, ramai yang tidak mengenalinya namun penyanyi bertubuh kecil ini yang sering muncul dan bergaya dengan setiap lagu yang disampaikannya mengingatkan kita kepada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Tidak mustahil jika bakatnya digilap dengan betul, Naqiu mampu meraih populariti luar dari Malaysia!

Namun sesuatu yang anda tidak boleh lupa, sebagaimana yang pernah dikatakan oleh salah seorang juri tetap, penyanyi yang tidak asing lagi, Hetty Koes Endang bahawasanya, Hady Mirza adalah pencabar kepada Naqiu Boboy.

Meskipun Hady hanya menduduki tempat teratas pada minggu ke tujuh dan kesepuluh, tetapi kehebatan vokalnya jangan dipandang remeh.

Sebabnya, meskipun Hady hanya dua kali menduduki tempat teratas, tetapi dengan persembahannya yang bertenaga tidak mustahil Hady mampu membuat kejutan pada malam esok.

NAQIU Boboy dan Sham Visa.

Sepertimana kata Hady, sebagai peserta yang bukan sahaja mengendong impiannya, Hady yang sentiasa menghargai sokongan para peminatnya sentiasa mahu buat yang terbaik dan menganggap apa jua keputusan malam esok adalah rezeki anugerah-Nya.

Bagaimanapun, kita tidak boleh memandang remeh pada penyanyi berpengalaman dan memiliki vokal paling mantap, Jatt Ali yang menduduki tempat teratas pada minggu pertama dan keempat.

Dengan pemarkahan seratus peratus daripada juri profesional, tidak mustahil jika pihak Astro memberi peluang kepada artis veteran untuk menjuarai GV6.

Tetapi bagi Jatt, penyertaannya dalam GV6 bukan mengejar juara sebaliknya ia bagaikan penjenamaan semula buat dirinya kerana sekian lama menyepikan diri dari dunia seni.

Betapa tidak sejak menyertai GV6, Jatt bukan sahaja mula dikenali para remaja yang memanggilnya ‘Uncle’ dan mengagumi suaranya dalam mendendangkan lagu “Cahaya Di Aidil Fitri” dari salah satu album beliau bersama Black Dog Bone, malah jika sebelum ini beliau hanya mempunyai 4,000 pengikut di Instagram kini meningkat melebihi 24,000.

Di samping mereka bertiga, bakat One Nation Emcees juga harus diambil kira apabila persembahan mereka pada minggu kesembilan dianggap luar biasa ketika menyanyikan lagu “Hati Emas” yang mana telah melayakkan mereka menduduki tempat pertama.

ONE Nation Emcees.

Sementara Sham Visa dan Nurfatima walaupun tidak pernah menduduki tempat teratas tetapi persembahan mereka tidak pernah menghampakan.

Mengimbau Gegar Vaganza dari
musim pertama hingga keenam, saya tidak nafikan daripada persembahan mingguan bagaikan memberi gambaran apakah keputusan pada malam esok.

Namun sesuatu yang membimbangkan sepertimana kata Ketua Juri, Datuk Ramli MS pada sidang akhbar selepas minggu separuh akhir, kadangkala nyanyian peserta semasa ‘full dress rehearsal’ lebih baik berbanding ‘live’ kerana perasaan gemuruh yang tidak boleh dielakkan.

Jika peserta dapat menghilangkan perasaan gemuruh ketika membuat persembahan sudah tentu dapat membantu mereka mendapat markah yang baik.

Bagaimanapun ianya tidaklah semudah itu kerana bagi saya, cabaran paling hebat malam esok ketika pesembahan ‘battle’ para peserta.

Jika dalam persembahan ‘battle’ mereka dapat membuat lebih baik berbanding pasangan mereka, tidak mustahil keputusan atau ramalam sebelum ini akan berubah.

Dalam persembahan ‘battle’ malam esok, Hady Mirza dan Naqiu Boboy akan mempamerkan kehebatan mereka dalam lagu
“Haa Tepuk” (nyanyian: Meerfly ft. MK dan Kidd Santhe).

One Nation Emcees dan Nurfatima akan mempersembahkan gaya mereka tersendiri dalam lagu ” In The End” nyanyian Linkin Park.

Bagi persembahan ‘battle’ terakhir ialah antara Jatt Ali dan Sham Visa dalam lagu ” Angguk-Angguk, Geleng-Geleng” yang pernah dipopularkan oleh Ahli Fiqir.

Persembahan solo pula Hady Mirza ( Ku Bersuara – Ernie Zakri), Naqiu Boboy ( Srikandi Cintaku – Bloodshed), One Nation Emcees ( Melompat Lebih Tinggi – Sheila On 7), Nurfatima ( Insan – Yantzen), Jatt Ali ( Without You – Air Supply) dan Sham Visa (Haruskah Diuji – Rahim Maarof).

NURFATIMA

Selain juri tetap Datuk Ramli MS (Ketua Juri) dan Hetty Koes Endang, Pereka Fesyen terkenal, Datuk Rizalman sekali lagi menjadi juri undangan untuk GV6.

Selain pengacara konsert Nabil Ahmad dan Jihan Muse, malam esok juga diserikan dengan Pengacara GV Life Plus, Bell Ngasri dan Fiza Frizzy dengan Pengacara Kapsul pula ialah Hefney Sahad.

Hadiah bagi para pemenang GV6 berupa wang tunai sumbangan Astro dan pakej percutian ditaja oleh selamatbercuti.com dan pakej ubahsuai tajaan Homestylist.

Juara akan menerima wang tunai RM100,000, percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah serta ubahsuai ruang tamu dan ruang makan.

Naib Juara menerima RM50,000, percutian ke Korea dan ubahsuai ruang tamu.

Tempat ketiga akan menerima RM30,000 dan percutian ke Shanghai dan Disneyland dan ubahsuai ruang makan.

Pemenang tempat keempat akan menerima wang tunai RM20,000 dan percutian ke Chiang Mai.

Tempat kelima akan menerima wang tunai RM15,000 dan percutian ke Ho Chi Minh

Pemenang tempat keenam akan menerima wang tunai RM10,000 dan percutian ke Jakarta.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here