JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) digesa menguatkuasakan peraturan melarang majlis berkaitan sumpah laknat melibatkan kepentingan awam atau kes dibicarakan di mahkamah dilakukan di masjid, kata mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli Mohamad berkata, ia wajar dilakukan bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi, memandangkan pada ketika ini wujud institusi mahkamah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan perundangan.

“Pada masa kini, setelah wujudnya mahkamah untuk menyelesaikan perundangan. Justeru, kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan.

“Jawi wajar mewujudkan dan menguatkuasakan apa-apa peraturan melarang apa-apa majlis berkaitan dengan sumpah atau sumpah laknat melibatkan kepentingan awam atau kes yang dibicarakan di mahkamah.

“Ia bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Berkenaan isu sumpah dan mubahalah, kami akan menerbitkan satu Bayan Linnas khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli tidak menamakan mana-mana pihak, namun kenyataan itu dibuat merujuk tindakan bekas perdana menteri Najib Razak pada Jumaat lalu yang bertindak melafazkan sumpah laknat.

Najib dalam sumpah laknatnya menafikan memberikan apa-apa arahan kepada bekas pegawai polis Azilah Hadri atau mana-mana pihak untuk membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru disaksikan isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Nooryana Najwa Najib dan lebih kurang 500 orang lain selepas selesai salat Jumaat.

Bekas perdana menteri itu bertindak sedemikian bagi menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Azilah, seorang bekas komando Unit Tindakan Khas, yang mengaitkan beliau dengan kematian Altantuya.

Najib pernah melafazkan sumpah laknat yang sama ketika beliau memegang jawatan timbalan perdana menteri 11 tahun lalu di Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang, menafikan beliau mengenali Altantuya.

Altantuya dibunuh pada Okt 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.

Zulkifli berkata, mubahalah atau sumpah laknat tidak menjadi tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksklusif pada sumpah sahaja.

“Pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian (perlu) di hadapan hakim. Dalam pinsip perundangan Islam, sumpah hanya akan diambil kira atau dilakukan apabila diminta qadhi atau hakim.

“Ia dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar, ia disebut sebagai ‘al yamin al qadha’iyyah’,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/12/23/mufti-wilayah-gesa-jawi-kuatkuasa-larangan-masjid-jadi-tempat-majlis-sumpah-laknat/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here