Ejen Ali ke Indonesia

0
498
AHMAD Izham Omar ( tiga dari kanan) pada majlis malam gala filem Ejen Ali The Movie di Indonesia, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM,

TIDAK menampilkan pelakon kacak atau jelita tapi filem Ejen Ali The Movie berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM25 juta dalam tempoh tiga minggu tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sambutan yang diberikan terhadap filem animasi terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama WAU Animation merupakan satu anjakan yang baik untuk industri perfileman tanah air.

Berikutan kejayaan besar di Malaysia, filem tersebut turut mendapat perhatian dari Indonesia, malah penonton di sana sudah mengenali Ejen Ali kerana siri animasi tersebut ditayangkan di saluran MNCTV, Indonesia.

Bukan setakat Indonesia, siri animasi Ejen Ali yang mula disiarkan di kaca TV sejak 2016 telah disiarkan di 50 buah negara termasuklah di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, Ejen Ali The Movie merupakan produk animasi pertama terbitan mereka yang berjaya menembusi pasaran filem animasi Indonesia.

“Kami harap fenomena Ejen Ali The Movie akan berterusan kerana naskhah yang dihasilkan oleh Usamah dan ahli WAU yang lain mempunyai nilai sinematik yang sangat tinggi.

“Sudah tentu kami mahu kongsi perasaan bangga itu dengan peminat dan pencinta filem di Indonesia. Ini permulaan yang bagus untuk kami melangkah ke tahun baharu, seperti mendapat hadiah,” kata Ahmad Izham.

Filem arahan Usamah Zaid Yasin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation itu akan mula ditayangkan di pawagan terpilih Indonesia seperti CGV, Flix, Kota Cinema, Platinum dan Cinemax, mulai 1 Januari 2020.

Menariknya, bukan setakat filem itu yang berjaya pecah panggung, malah runut bunyi (original soundtrack) dari filem tersebut turut diminati ramai.

Sebanyak empat buah lagu skor muzik runut bunyi telah dimuat naik di semua platform digital. Video lirik lagu Bukalah Matamu, nyanyian Aisyah Aziz dan penyanyi hip hop Bunga yang dimuat naik dalam YouTube mencatat lebih 2.2 juta tontonan.

Sementara lagu kedua, Kita Jaga Kita, dendangan Altimet bersama Cuurley dan Malik Abdullah pula berjaya mencatat jumlah tontonan sebanyak 2.6 juta di YouTube.

Lagu Mamak Maju juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya mendapat tontonan sebanyak 4.4 juta. Begitu juga dengan lagu Mana (Di Hatimu), dendangan Ida Rahayu Yusoff Ali sejak dimuat naik pada 20 Disember lalu, ditonton lebih 600,000. Selain menyanyi, Ida Rahayu juga menyumbangkan suara untuk watak watak Ejen Ali.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here