Hargailah usaha Tabung Haji

0
357

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

SEPERTI biasa bulan November menyaksikan bermulanya kursus haji di masjid-masjid di seluruh negara. Betapa kini segalanya mudah sekali bagi mereka yang bakal menjadi tetamu Allah SWT dalam menunaikan rukun Islam kelima.

Jarang sekali kita mengimbau beberapa dekad lalu betapa sukarnya generasi dahulu mengerjakan ibadah berkenaan.

Mereka menaiki kapal laut dalam keadaan tidak selesa dan mengambil masa berbulan-bulan untuk perjalanan pergi dan kembali.

Urusan perjalanan, kewangan dan keperluan di tanah suci perlu diuruskan sendiri. Segala masalah di sana pula perlu mereka selesaikan sendiri.

Kini segala kepayahan itu diambil alih oleh Tabung Haji (TH) yang menguruskan simpanan, perjalanan dan menjaga kebajikan serta membantu mengatasi segala permasalahan jemaah di tanah suci.

Semua ini adalah tanggung jawab yang diletakkan di atas bahu TH untuk digalas dan disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Namun ada kalanya kita lupa betapa besar peranan dan jasa TH serta betapa tinggi nilai nikmat kemudahan yang diberi untuk kesenangan jemaah.

TH bukan sahaja terbukti komited melaksanakan tanggung jawab dengan jaya, malah setiap tahun ia menanggung kos subsidi yang tinggi untuk jemaah haji.

Kos mengerjakan haji 2019 ialah RM9,980 untuk jemaah muasasah yang pertama kali ke Mekah.

Sementara umum menyedari ini kos bersubsidi, berapa ramai yang tahu bahawa subsidi yang ditanggung oleh kerajaan, khususnya Tabung Haji (TH) adalah lebih tinggi daripada kos yang dibayar oleh jemaah sendiri?

Kos sebenar mengerjakan haji ialah RM22,900. Namun kerajaan memberi subsidi RM12,920 yang membolehkan jemaah hanya membayar RM9,980.

Inilah pengorbanan yang mungkin jarang kita sedari atau hargai dilakukan setiap tahun oleh TH untuk meringankan beban kewangan supaya lebih ramai mampu ke tanah suci meskipun berdepan dengan kos operasi yang meningkat.

Sepanjang masa TH sentiasa memikirkan cara terbaik memperbaiki perkhidmatan demi kepentingan para jemaah. Segala-galanya bukan mudah kerana TH beroperasi di negara lain dan kos-kos tertentu berada di luar kawalan.

Institusi berkenaan bertungkus lumus meningkatkan nilai pelaburan untuk membolehkan TH menambah baik operasi dan mutu perkhidmatan.

Pulangan pelaburan yang tinggi juga akan membolehkan TH mengagihkan hibah lebih baik kepada pendeposit. Dijangka ini dapat direalisasikan bagi tahun kewangan 2019.

Ini dinyatakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, bahawa pencapaian prestasi kewangan TH amat positif pada suku ketiga tahun ini.

Justeru pendeposit boleh mengharapkan hibah lebih tinggi berbanding hibah 1.5 peratus pada tahun kewangan 2018, melibatkan pembayaran RM913 juta kepada pendeposit.
Pada suku ketiga 2019 aset mengatasi tanggungan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM1
bilion tahun lalu.

Keuntungan bersih suku ketiga 2019 pula ialah RM500 juta, menjadikan jumlah keuntungan untuk sembilan bulan pertama 2019 kepada RM1.3 bilion.

Ini semua tidak dapat dicapai tanpa usaha keras dan komitmen tinggi pengurusan TH, dibantu oleh keyakinan berterusan daripada pendeposit.

Sehingga akhir November lalu TH mempunyai 8.71 juta pendeposit dan 87,000 adalah akaun simpanan baharu. Angka ini menyerlahkan keyakinan pendeposit kepada TH.

Dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan dan operasi haji, TH sedang merangka pelan tindakan lima tahun dari tahun 2020 hingga 2024.

Pelan ini yang dijangka siap suku pertama tahun depan akan membolehkan TH membuat perancangan awal dengan mengambil kira pembangunan di Mekah dan Madinah.

Ini adalah langkah proaktif memandangkan banyak perubahan fizikal di tanah suci seperti hotel lama telah diruntuhkan dan dibina hotel baharu.

Perubahan ini boleh memberi kesan kepada jemaah, misalnya dari segi destinasi mereka dengan Masjidil Haram.

Justeru dengan adanya pelan tindakan yang dirancang diharapkan masalah ini serta masalah lainyang berhubung kait dengan jemaah dapat diatasi.

TH juga bakal melaksanakan beberapa agenda, termasuk pemerkasaan pentadbiran pendeposit serta pengurusan haji di samping pengukuhan anak syarikat.

Usaha ini untuk memastikan setiap bahagian dalam TH dan juga anak syarikat memainkan peranan lebih gigih untuk memastikan perkhidmatan cemerlang TH dapat diteruskan dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Justeru dengan pelbagai langkah yang diambil untuk mengukuhkan institusi, dan sokongan serta keyakinan berterusan pendeposit, kita menaruh harapan TH akan terus menempa kejayaan gemilang.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here