Kisah pelanggan tersungkur di restoran

0
387

Oleh NAZERI NONG SAMAH

PERISTIWA melihat seorang pelanggan warga emas lelaki tersungkur dekat meja makan dalam sebuah restoran di pinggir bandar raya Kuala Lumpur, baru-baru ini memang sedih dan mengejutkan.

Segala-galanya, dakwa warga emas itu berlaku akibat sikap ‘memekakkan telinga’ dalam kalangan pelayan restoran itu, apatah lagi rata-rata mereka adalah buruh asing berkulit gelap yang tidak fasih berbahasa Melayu.

“Saya dah acap kali panggil pelayan restoran ini minta datang ke meja untuk tambah kuah kari makan roti canai, tapi tak seorang pun pelayan mahu mendengarnya atau nak datang menanyakan apa yang saya mahu.

“Akhirnya saya ambil keputusan bangun dari kerusi, bawa sendiri piring roti canai nak ambil kuah kari,” kata warga emas itu selepas dia tersungkur bersebelahan meja penulis yang minum petang di restoran tersebut.

Piring plastik roti canai dibawa warga emas itu betul-betul seperti ‘magic’ terpelanting, lalu terletak cantik sempurna bersama-sama rotinya di atas meja yang diduduki penulis bersama seorang rakan.

Penulis tidak sempat untuk membantu mengangkat lelaki yang tersungkur di lantai restoran itu kerana dia begitu pantas bangun. Untungnya dahi mangsa tidak terhantuk ke bucu meja batu.

“Punca saya tersungkur kerana kaki saya tersepak ke bahagian tinggi lantai dari tempat lantai rendah restoran ini,” katanya sambil menunjukkan ke lantai hitam restoran itu.

Daripada pemerhatian penulis kepada peristiwa tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa warga emas itu ketika membawa piring roti canai terlupa memandang lantai tinggi lalu kaki tersepak dan tersangkut, lantaran fokus sepenuhnya hanya ke tempat kuah kari yang mahu diambil.

“Kau orang ini punya pasal menyebabkan saya tersungkur nyaris pecah dahi kalau terantuk ke meja. Puas saya panggil minta hantar kuah kari ke meja saya. Tapi kau orang semua buat tak dengar… apalah ini macam, memang tak patut. Inikah cara kau orang bekerja,” warga emas itu meninggikan suaranya memaki hamun semua pekerja asing restoran itu, termasuk kepada pekerja di kaunter pembayaran makanan.

Pelanggan di restoran berkenaan saling berpandangan sesama sendiri tatkala menyaksikan drama spontan kemarahan mangsa itu. Suasana sunyi seketika. Cuma kedengaran bunyi kenderaan di jalan raya. Ada juga pelanggan yang berbisik-bisik sesama sendiri.

Tidak puas hati dengan luahan kemarahannya kerana hanya mendapat reaksi dipekakkan telinga tanpa simpati daripada pekerja restoran tersebut, warga emas yang malang itu pantas mara ke meja penulis sekali gus menyambar piring berisi roti canainya yang terletak cantik terpelanting ke meja penulis tadi.

Penulis menyangka warga emas itu mahu pergi mengambil sendiri kuah kari roti canai di tempat yang disediakan, tetapi amat mengejutkan kerana kedengaran bunyi ‘pranggggg!!!’ yang amat kuat akibat piring berisi roti itu dibaling sekuat hati ke arah tempat kari tumpah di lantai.

“Waaaaa…. dia betul-betul punya marahlah,” kata penulis kepada rakan semeja yang turut menyaksikan kemuncak drama nyata ‘yang tidak ingin dilihat’ dalam restoran itu.

Sekali lagi para pelanggan terkejut dan tercengang dengan tindakan marah warga emas yang membaling piring berisi roti canai menghala ke kaca cermin ruang tempat lauk dan kuah kari restoran itu.

Untungnya piring roti canai yang dilempar itu tidak terkena kaca tempat rak kuah kari. Kalau berlaku sudah tentu kaca pula yang pecah bertaburan ke dalam lauk pauk dan kuah gulai boleh mengakibatkan kerugian kepada pemilik restoran.

Satu lagi untungnya ialah piring roti canai yang dibaling kuat oleh warga emas itu adalah berupa piring plastik. Jika piring kaca atau tembikar yang dibaling sudah tentu akan bertaburan serpihannya dalam restoran…?

Demikian secebis drama spontan mengenai gelagat di restoran menggunakan pekerja asing yang tidak tahu adat budaya dan sopan santun kepada pelanggan warga tempatan.

Sepatutnya pemilik restoran di negara ini perlu memberi pendidikan kepada buruh asing sebelum layak diimport bekerja agar mereka dapat memahami nilai tempatan berkaitan adab kepada pelanggan, selain aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

Pelayan restoran warga asing itu sendiri sepatutnya dipastikan oleh pihak berkuasa Kementerian Kesihatan agar menjalani suntikan pencegahan penyakit bawaan yang berbahaya seperti batuk kering, kusta dan lain-lain lagi.

Kisah pelanggan tersungkur di restoran ini patut dijadikan pengajaran agar pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara memantau kerja pengubahsuaian restoran supaya mempunyai ciri-ciri keselamatan kepada pengunjung.

Sepatutnya tidak berlaku perbuatan lantai ditinggikan seperti bendul dari lantai bawah. Oleh kerana kerap berlaku pelanggan tersepak lantai tinggi, maka sudah ada kedai runcit atau kedai serbaneka tertentu telah meletakkan simen berbentuk 45 darjah di pintu masuk bagi mengelakkan pelanggan tersungkur.

Menyentuh aspek kebersihan di restoran yang diabaikan, kerap kita lihat pelayan meletakkan piring kuah di atas roti canai. Bayangkan, apakah piring kuah itu bersih dan selayaknya diletak atas makanan tersebut?

Dalam satu kejadian lain, penulis sempat melihat sikap pengotor pekerja restoran apabila mengambil semula ketulan kecil ayam goreng yang terjatuh di atas lantai ketika dipotong sebelum memasukkan dalam bekas plastik yang dipesan pelanggan.

Ini belum lagi cerita mi goreng kedai mamak dimasak dengan sawi yang terasa ‘berpasir’ kerana tidak dicuci dengan bersih sebelum digoreng…?

Budaya pengotor itu kita tidak berlaku di restoran negara ini pada zaman sebelum 1980-an, tetapi mula berlaku apabila bermulanya pengambilan ramai pekerja asing dari dua buah negara terbabit yang tidak dibekalkan secukupnya dengan pendidikan budaya dan kebersihan.

Kita juga kerap melihat budaya pengotor warga asing pekerja restoran yang tidak berpendidikan mengenai aspek kebersihan itu gemar menyapu sampah ketika pelanggan sedang menjamu selera.

Tahukah anda apa kesan daripada perbuatan menyapu sampah itu? Jawabnya ialah akan menyebabkan banyak habuk kotor berkuman berterbangan daripada perbuatan menyapu sampah itu masuk ke dalam gelas minuman dan pinggan makanan pelanggan yang sedang enak menjamu selera.

Kesemua perkara jelek yang berlaku di restoran sedemikian patut dipantau serta diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib daripada agensi tertentu khususnya yang berkaitan dengan aspek kesihatan, kebersihan, keselamatan dan kepenggunaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi menjaga kesihatan rakyat yang diperlukan undi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya rakyat sedang memerhati prestasi dan keprihatinan kerajaan PH yang bukan setakat dilihat berupaya menguatkuasakan perintah undang-undang larangan merokok dengan denda maksimum mahkamah RM10,000 kepada pesalah merokok di restoran yang mula dikuat kuasa pada 1 Januari 2020.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here